Dana Hasil Haram Dikembalikan Kepada Rakyat - Budi 300 Liter Kembali!

Dalam Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 yang disampaikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan enam ikhtiar segera bagi menangani kebimbangan rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup dan tekanan kehidupan seharian.

Langkah-langkah ini berkuat kuasa seawal 1 September 2026, tanpa perlu menunggu pembentangan Belanjawan 2027. Anwar mengakui bahawa pelbagai bantuan sedia ada, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang mencecah RM15 bilion, masih belum mencukupi sepenuhnya untuk meredakan beban rakyat. Beliau menekankan bahawa pertumbuhan ekonomi negara mesti dikembalikan kepada rakyat.

Enam Ikhtiar Utama

1. Pengembalian kelayakan BUDI MADANI  
Had kelayakan asas subsidi petrol RON95 di bawah program BUDI95 dikembalikan daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan. Langkah ini memberi manfaat kepada lebih 16 juta pengguna.  
Sementara itu, lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak akan menerima subsidi BUDI Diesel sehingga **400 liter sebulan**.

2. Peningkatan peruntukan prasarana pendidikan  
Peruntukan penyelenggaraan untuk semua jenis sekolah dinaikkan 50 peratus, daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion bagi tahun 2027. Ia merangkumi Sekolah Kebangsaan, SJKC, SJKT, sekolah agama, tahfiz, pondok, serta pendidikan khas. Kerja-kerja pembaikan dijangka dimulakan seawal Januari 2027.

3. Langganan percuma aplikasi AI untuk belia
Program AI untuk Rakyat dibuka kepada golongan belia berusia 18 hingga 30 tahun. Seramai 100,000 belia yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan percuma aplikasi AI terpilih selama tiga bulan. Aplikasi yang ditawarkan termasuk IlmuChat (AI tempatan), Gemini Enterprise, Wonderclip dan MuleRun.

4. Mempercepat rawatan di klinik dan hospital kerajaan 
Peruntukan RM1 bilion disediakan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam. Ia merangkumi pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik serta peningkatan ketersambungan internet di 150 hospital dan lebih 2,000 klinik kesihatan awam, dengan matlamat mengurangkan tempoh menunggu pesakit.

5. Kenaikan ambang pengecualian e-Invois  
Ambang pengecualian e-Invois dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta jualan tahunan. Perniagaan dengan jualan tidak melebihi RM3 juta setahun tidak lagi diwajibkan melaksanakan e-Invois, bagi meringankan beban peniaga kecil dan sederhana.

6. Peningkatan dana pinjaman dan geran untuk usahawan kecil
Dana pembiayaan mikro ditingkatkan sebanyak RM1 bilion, menjadikan keseluruhan dana RM6 bilion bagi tahun 2026.  
Kerajaan turut memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI bernilai RM200 juta khusus untuk membantu penjaja, peniaga pasar malam, peniaga kecil, serta ibu yang menjalankan perniagaan dari rumah.

Dana Hasil Haram Dikembalikan kepada Rakyat - utusan

Anwar juga mengisytiharkan bahawa semua aset dan dana berbilion ringgit yang dirampas daripada hasil haram dan rasuah melalui proses perundangan serta keputusan kehakiman akan disalurkan semula kepada rakyat, terutamanya bagi memperkasakan bidang pendidikan dan kesihatan.

Lebih Banyak Pengumuman Akan Datang

Perdana Menteri memberi jaminan bahawa beberapa pengumuman lain akan disampaikan semasa sambutan Hari Malaysia di Sarawak, serta dalam Belanjawan 2027. Beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan terus mendengar suara dan keresahan rakyat, serta bekerja keras memastikan setiap kejayaan negara diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai secara nyata.

“Semoga ikhtiar ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban rakyat serta memberi makna yang nyata kepada sambutan kemerdekaan tahun ini,” ujar Anwar.

Tema sambutan Hari Kebangsaan ke-69 ialah Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati




Post a Comment

0 Comments