Kenapa muafakat nasional gagal? Kerana mereka hanya bersembang kencang menghayun bola politik semata-mata tetapi tidak mampu diterjemahkan dalam pentadbiran sebenar pimpinan kerajaan PAS mahupun UMNO.
Cuba lihat di negeri pimpinan PAS & UMNO. Apakah mereka berjaya menggabungkan ADUN PAS dan UMNO untuk duduk satu kerusi dalam pentadbiran? Tidak.... Apakah mereka bersama dalam mesyuarat tertinggi kerajaan dalam merangka pentadbiran negeri? Tidak... Apakah mereka menggunapakai ADUN dan jentera parti digabungkan dibawah ADUN yang menang?Tidak...
Tetapi, mereka terus menerus melemparkan dakyah melayu islam, melayu islam. Dan sekarang kita dimomokkan dengan kesayuan najib razak yang dipenjarakan.. Dan UMNO sendiri berpecah antara golongan sokong najib dipenjara dengan tidak menyokong najib dipenjara.
Sekiranya PAS mahu bergabung dengan UMNO dibawah pimpinan zahid hamidi, apakah bermakna PAS menyokong bersama kes rasuah yang dibicarakan di mahkamah?
PAS seolah sudah hilang hala tuju sebenar
Kami tetap mahu Umno dan Bersatu, elak undi Melayu berpecah, kata PAS
FMT | Ketika Umno dan PAS berbalas kenyataan mengenai masa depan Muafakat Nasional (MN), seorang pemimpin kanan PAS tampil menegaskan parti itu tetap mahu bersama Umno dan Bersatu demi agenda penyatuan ummah.
Walaupun sering diasak dengan tanggapan “main banyak kolam”, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, pendirian untuk menyatukan semua parti Melayu Islam bagi mengelakkan undi Melayu berpecah, seperti yang berlaku pada PRU14.
Akibatnya, PAS pimpinan Abdul Hadi Awang terpaksa bergerak solo, selepas Pakatan Harapan merampas Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 2018, menjatuhkan pentadbiran Barisan Nasional buat julung kali dalam sejarah negara.
“PAS selalu ditanya, PAS nak pilih mana, sama ada dengan Umno atau Bersatu? Tak…kami pilih dua-dua. Itu naratif kami, biar rakyat menilai, walaupun orang mencerca dan perli sekali pun, kita tetap menyatakan soal perpaduan ini penting,” kata Idris ketika berucap dalam himpunan jentera PAS Pusat sempena Muktamar PAS ke-68 malam tadi.
Beliau berkata, jika berlaku perpecahan undi Melayu, keadaan sama seperti PRU14 akan berulang.
Pada PRU14, PAS memenangi 18 kerusi Parlimen, iaitu Terengganu (6), Kedah (3) dan Kelantan (9).
Idris yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengingatkan ahli PAS bahawa perjuangan menyatukan umat Islam demi masa depan generasi akan datang, bukannya untuk mengejar kuasa atau kedudukan.
“Kalau kita terus bercakap mengenai perebutan kuasa, jawatan dan kepentingan kita, apa akan jadi kepada generasi anak cucu kita?” soalnya.
Kelmarin, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Umno perlu bergerak solo pada PRU15 memandangkan PAS hanya menawarkan kerjasama politik “dangkal” dalam MN.
Katanya, kestabilan, keyakinan dan kerjasama kukuh dalam MN tidak dapat dijalin kerana PAS menjalin hubungan dengan parti yang secara jelas mahu menghancurkan Umno dari luar dan dalam.
Beliau merujuk keputusan PAS menyertai Perikatan Nasional yang diterajui Bersatu, parti serpihan Umno.
Hadi kemudian tampil membalas kenyataan Zahid dengan berkata, kenyataannya tidak mewakili keseluruhan suara Umno.
0 Comments