Maksudnya PN kuatlah tu, Kalau tak (BN-PH) tak berpakat - TGHH



Perikatan Nasional (PN) merupakan gabungan parti politik yang kuat sehingga Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu bergabung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, 7 Disember ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, PN tiada masalah dan akan meneruskan gerak kerja seperti biasa bagi memastikan DUN Tioman dirampas gabungan tersebut.

“Soal BN dan PH itu (bergabung) tanya merekalah, jangan tanya saya, itu urusan mereka bukan urusan kami. Itu menandakan PH dan BN perlu bersama untuk lawan kita.

“Maksudnya kita kuatlah tu, kalau kita tak kuat dia (BN-PH) tak berpakat. Pas tak kisah, jalan macam biasa,” katanya dalam sidang akhbar selepas ceramah PN di Bandar Baru Rompin di sini semalam.

Semalam, Parti Amanah Negara (Amanah) yang merupakan komponen PH memberi laluan kepada calon BN bagi PRU15 DUN Tioman sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional.

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli dilaporkan sebagai berkata, parti itu memandang PRU15 DUN Tioman sebagai pertembungan kerajaan baharu negeri ini dengan kelompok ekstremisme kaum dan agama yang perlu ditangani secara serius.

Kerusi DUN Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antaranya :  
  • Calon BN yang juga penyandang kerusi itu, Datuk Seri Johari Hussain; 
  • Calon Bebas, Sulaiman Bakar; 
  • Calon parti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Osman A. Bakar; 
  • Calon PH, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly (Telah bergabung bersama BN)
  • Calon PN, Nor Idayu Hashim.

Pada PRU15 Sabtu lalu, PN merampas kerusi Parlimen Rompin yang sebelum ini kubu kuat BN dan menang kerusi DUN Bukit Ibam.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, gabungan itu diyakini akan mencapai kemenangan di kerusi DUN Tioman kerana sentimen pengundi yang mahukan pimpinan yang bersih dan stabil.

“Sebagaimana kita menang tempat lain (Parlimen Rompin), itu juga yang berlaku di DUN Tioman. Kita menang, kita berjaya, yang penting pengundi menentukan,” katanya. 


Post a Comment

0 Comments