Sah! PH (Amanah) Beri Laluan BN Bertanding Dun Tioman



Amanah hari ini bersetuju calonnya yang mewakili Pakatan Harapan (PH) memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

Setiausaha Agung Amanah Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu sebagai tanda kesepakatan serta memperkukuh kerajaan perpaduan di peringkat negeri Pahang dan nasional.

"Amanah melihat keperluan untuk mewujudkan perpaduan erat komponen kerajaan negeri dalam menentang calon Perikatan Nasional (PN). Oleh demikian, Amanah yang juga sebahagian daripada parti komponen PH mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada calon BN,"

Bagi memenangkan calon mewakili kerajaan perpaduan, jentera pilihan raya PH akan bergerak bersama dalam setiap kempen BN pada pilihan raya tersebut, katanya.

PRU-15 DUN Tioman berlangsung pada 7 Disember selepas ditangguhkan berikutan kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lalu, dipercayai akibat serangan jantung.

Dalam pilihan raya itu, Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) sepatutnya berhadapan saingan lima penjuru membabitkan calon BN Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Nor Idayu Hashim (PN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail semalam turut menyifatkan langkah memberi laluan itu sebagai perkembangan baik, namun mengakui sehingga kini tiada perbincangan rasmi diadakan bersama PH berhubung perkara tersebut.

Post a Comment

0 Comments