Tanggung Kemenangan KJ, Kata Blogger Shahbudin... Kenapa Bro?


Sebelum menuduh UMNO sebagai parti yang sudah sesat, Khairy Jamaluddin atau KJ lebih awal daripada itu telah secara terbuka mengumumkan dirinya mahu menjadi Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO.

Katanya, beliau mahu menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO pada suatu hari nanti dan ia mesti bermula dengan kemenangannya di Sungai Buloh ini.

Bererti KJ mahu menang sebagai Ahli Parlimen Sungai Buloh dalam PRU15 ini bukan sangat untuk memastikan BN berjaya menubuhkan kerajaan, sebaliknya hanya sebagai lonjakan untuk memenuhi impian peribadinya mengejar jawatan Perdana Menteri.

Dalam erti kata lain juga, KJ hanyalah memikirkan kepentingan dirinya berbanding parti melalui keinginan menang di Sungai Buloh pada 19 November nanti.

Sebab itu, semata-mata untuk tujuan melonjakkan dirinya, beliau bukan setakat mengumumkan mahu menjadi Perdana Menteri, bahkan secara terbuka tergamak menuduh UMNO sebagai parti yang sudah sesat.

Kononnnya, sebagai reformis dan bukan “yes man”, beliaulah yang mampu membersih serta meletakkan UMNO ke laluan asalnya sebagaimana parti itu disokong majoriti rakyat seperti sebelum ini.

Betul-betul KJ ternampak amat terdesak demi dirinya sahaja tanpa memikirkan bahawa tuduhan UMNO sudah sesat yang dibuatnya itu lebih merosakkan nama parti dan menjadikan UMNO secara keseluruhannya dipandang kotor oleh pengundi.

Sementara tuduhan KJ bahawa UMNO sudah sesat itu adalah serangan yang jelas kepada kepimpinan parti sedia ada, terutama Ahmad Zahid Hamidi, pengumumannya ingin menjadi Perdana Menteri pula, jika difahami bukanlah perkara yang boleh dicapainya dalam waktu terdekat ini.

Tambahan lagi, dalam usianya yang masih muda, baru 46 tahun, cita-cita KJ itu barangkali lebih sesuai direalisasikan dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang.

Ini sekaligus bertentangan dengan keutamaan majoriti rakyat dalam PRU15 ini iaitu untuk melihat wujudnya sebuah kerajaan baru yang stabil serta mampu membawa perubahan kepada negara berikutan pelbagai masalah yang dihadapi ketika ini.

Dalam hal ini, sesuai dengan kedudukan PH yang sedang berada di hadapan berbanding pesaingnya yang lain untuk memenangi PRU15 akan datang ini, mengukuhkan kemenangan gabungan itu jauh lebih penting daripada untuk memenuhi cita-cita KJ itu.

Kedudukan PH yang sedang mendahului ketika ini bukan saja berdasarkan dapatan pelbagai badan yang membuat kajian berkenaan sentimen rakyat dalam PRU15 ini, malah rata-rata rakyat pelbagai lapisan, jika ditanya pendapat mereka, turut menaruh harapan yang tinggi kepada Anwar Ibrahim.

Untuk itu, berbanding KJ yang hanya mahu menjadikan kemenangan di Sungai Buloh bagi memenuhi cita-cita peribadinya menjadi Perdana Menteri, PRU15 ini harus difokuskan untuk mencapai matlamat yang lebih besar bagi kepentingan rakyat serta negara.

Kemenangan calon PH di Sungai Buloh secara langsung mampu menambahkukuhkan kemenangan gabungan itu, seterusnya menjadikan Anwar bertambah stabil jika memegang jawatan Perdana Menteri.

Kepada pengundi-pengundi Sungai Buloh, mereka dengan ini boleh menangguhkan dulu untuk memberi kemenangan kepada KJ kerana kemenangan itu, jika dicapainya, tidak memberi banyak manfaat kepada cita-cita peribadinya ingin jadi Perdana Menteri.

Masa yang sesuai untuk beliau menjadi Perdana Menteri masih jauh lagi. Malah, memberi kemenangan kepada KJ juga boleh mendatangkan lebih banyak masalah kepada UMNO.

Selain Zahid Hamidi yang difahami pasti tidak gembira dengan kemenangan KJ lantaran sikapnya yang tidak berterima kasih kerana masih diberi peluang bertanding, pemimpin senior dan berkedudukan dalam UMNO sekarang seperti Mohamad Hasan, Hishammuddin Hussein dan Mahadzir Khalid pun akan melihat kemenangan itu sebagai ancaman kepada mereka.

Jadi, menangguhkan dulu kemenangan KJ di Sungai Buloh lebih memberi manfaat kepada masa depan negara ini dan pelbagai pihak lain, sementara cita-cita beliau mahu jadi Perdana Menteri itu boleh disokong semula dalam dua atau tiga PRU selepas ini. 


BANkami Blog : Kemenangan KJ di sungai buloh, ada petanda untuk KJ menjadi reformis dalam umno untuk menyahtinjakan semua mana-mana ahli umno yang terlibat dengan rasuah dan melenyapkan segala saki baki pengikut najib. Apa yang anak muda mahukan adalah UMNO dipimpin oleh KJ. 

Rakyat mahukan kestabilan kerajaan dan rakyat mahukan pemimpin yang bersih dan bukannya pemimpin yang terpalit dengan tuduhan rasuah serta pemimpin yang dalam perbicaraan mahkamah. Kalau zahid betul mahu umno dilihat bersih, dia sepatutnya meletakkan jawatan sebagai presiden umno dan memberi laluan kepada mereka yang bersih untuk memimpin umno. 

Umur bukan lagi sandaran untuk dilihat menjadi seorang pemimpin yang berkaliber yang mempunyai visi misi yang jauh. 

Mematikan langkah zahid hamidi adalah lebih baik daripada menangguhkan langkah impian KJ. 

Post a Comment

0 Comments