Kenapa Pulak Ni.. Anwar Cakap Lain, Mat Sabu Cakap Lain... Hahaha



Dalam usaha menampung keperluan pasaran tempatan pada harga yang lebih rendah, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengimport bekalan telur daripada beberapa negara sumber yang sudah dikenal pasti dengan segera.

Menterinya, Mohamad Sabu, berkata itu antara langkah jangka pendek yang diambil kementeriannya, selain akan memastikan telur ayam yang diterima itu selamat daripada penyakit dan menepati piawaian ditetapkan.

"Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar, bukan untuk menekan pengusaha industri tempatan, sebaliknya bagi memastikan bekalan dalam negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga.

"Keperluan membawa masuk telur ayam dari sumber luar juga akan dikaji semula selepas bekalan tempatan kembali stabil. Segala protokol dan tatacara yang ditetapkan kerajaan perlu dipatuhi tanpa kompromi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam sidang media selepas mesyuarat pertama Kabinet, memaklumkan pihaknya sudah berbincang dengan Mohamad dan akan mengumumkan harga telur ayam yang lebih rendah, hari ini.

Anwar berkata, langkah terbabit diharapkan dapat mengurangkan kebergantungan kepada kartel.

Bagaimanapun, dalam kenyataan yang dikeluarkan Mohamad hari ini, langsung tidak menyebut mengenai harga telur ayam yang dijanjikan lebih rendah itu.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Ketua Setiausaha kementeriannya juga sudah diarah menilai kesan import terhadap industri telur ayam tempatan dan Agrobank akan mengemukakan cadangan bagi membantu pembekal dan pengusaha kecil supaya mereka kekal berdaya saing dalam industri ini.

"Kementerian sentiasa berusaha dengan pelbagai pendekatan bagi menjamin bekalan telur ayam negara kembali stabil dengan harga yang kompetitif. Kementerian yakin isu kekurangan bekalan telur ayam dapat diselesaikan dalam masa terdekat dengan kerjasama pelbagai pihak," katanya.

Mengulas mengenai penggunaan telur ayam dalam pasaran tempatan, Mohamad berkata, telur ayam adalah makanan harian berprotein yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia dengan kadar purata pengambilan 968 juta biji telur ayam sebulan.

-Berita Harian

Post a Comment

0 Comments