Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar akan segera pulang ke Terengganu untuk pergi ke lokasi-lokasi terjejas banjir dan melawat mangsa yang terjejas akibat bencana itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu bilakah waktu yang tepat Menteri Besar akan tiba di Terengganu.
“Ketika ini, tular di media sosial bahawa Menteri Besar ada di Auckland, New Zealand. Saya pun tahu perkara itu melalui maklumat yang tular namun difahamkan, Menteri Besar akan pulang segera secepat mungkin,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu berkata, ketiadaan Menteri Besar sepanjang tempoh bencana buruk itu berlaku tidak sepatutnya menjadi isu dan diperbesarkan oleh mana-mana pihak.
Ini kerana semua jabatan dan agensi kerajaan yang bertanggungjawab telah menjalankan tugas dengan terbaik untuk menjaga kebajikan hampir 40,000 mangsa banjir yang terjejas di seluruh negeri ketika ini.
“Semuanya berjalan lancar sejak hari pertama banjir hinggalah sekarang. Bantuan makanan dan keperluan asas yang lain juga telah disalurkan kepada semua mangsa banjir.
“Walaupun banjir serentak di semua lapan daerah dan melibatkan jumlah mangsa yang ramai, apa sahaja permasalahan yang timbul telah dapat diselesaikan segera. Mengapa tiba-tiba ketidakhadiran Menteri Besar menjadi isu, kerana ia bermotifkan politik,” katanya.
-KOSMO! ONLINE
0 Comments