Neelofa Riuhkan Dewan Konvokesyen UIAM



Selebriti yang juga usahawan terkenal, Neelofa berkongsi rasa teruja apabila suaminya, Haris Ismail menjadi antara seorang graduan pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ke-38 di di Dewan Utama, Pusat Aktiviti Kebudayaan, UIAM di sini, hari ini.

Menerusi hantaran yang dimuat naik Neelofa dalam InstaStory miliknya, pengacara program Next To Neelofa itu berkongsi saat manis ketika menemani dan meraikan kejayaan pendakwah bebas itu menamatkan pengajian di UIAM.

Beberapa hantaran yang dikongsikan, Neelofa atau nama lengkapnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 33, terlihat gembira dan bangga apabila bergambar bersama Haris yang segak mengenakan jubah konvokesyen berwarna biru firus.

“Alhamdulillah,” ucap Haris ringkas dalam salah sebuah video yang dirakam isterinya.

Dalam perkongsian berbeza, Neelofa turut merakamkan saat suaminya naik ke atas pentas untuk menerima skrol sebaik sahaja namanya diumumkan sekali gus menyebabkan seluruh isi dewan riuh dengan tepukan dan sorakan daripada graduan lain.

“Siapa suruh bawa bini (isteri) datang konvo,” tulis Neelofa sambil meninggalkan tanda pagar #suamimudakauada.

Berdasarkan tangkap layar pada skrin di atas pentas, Haris atau nama lengkapnya Muhammad Haris Mohd. Ismail telah menamatkan pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan minor Pembelajaran Islam (Islamic Education). 

– KOSMO! ONLINE

Post a Comment

0 Comments