Sedang Bertani.. Tiba-tiba Air Naik Mendadak, Terpaksa Panjat Pokok Selamatkan Diri Sehingga Subuh..



Tiga bekas askar terpaksa berpaut pada dua batang pokok leban selama hampir enam jam susulan paras air banjir naik mendadak di Kampung Bukit Tokbat, Hulu Terengganu semalam.

Seorang mangsa, Abd Latif Jamaludin, 54, berkata sebelum kejadian itu, mereka sedang bertani di lokasi yang menjadi tapak projek Tanaman Sayur Koperasi Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Hulu Terengganu.

Dua mangsa lain yang turut bersama Latif ialah Wan Azmi Wan Ibrahim, 50, dan Rusli Muhammad, 42. Menurut Latif, mereka bertiga yang terperangkap pada mulanya berlindung di sebuah pondok yang terdapat di situ. Harapan mereka agar banjir surut tidak kesampaian apabila air naik sehingga 2m menjelang lewat petang.

“Kami tiba pada 8 pagi (kelmarin) sebelum hujan lebat dan paras air naik mendadak tidak sampai dua jam kemudian,” kata Latif, menurut Kosmo.

“Kawasan pertanian kami tiba-tiba berubah menjadi seolah-olah lautan dengan banjir setinggi 1m.”

“Kami terpaksa memanjat dua batang pokok leban untuk selamatkan diri pada tengah malam sehingga subuh (semalam).

Sepanjang terperangkap kami hanya alas perut dengan biskut dan mi segera,” katanya.

“Kami diselamatkan Mohd Fauzi yang berjaya memasuki kawasan bencana dengan menaiki sebuah bot gentian kaca pukul 10 pagi (semalam).

“Sebaik tiba di jalan besar yang terletak kira-kira lima kilometer, kami mengharung pula banjir sedalam kira-kira 1m,” katanya.

Setakat pagi ini, situasi banjir di Terengganu tidak menunjukkan petanda lebih baik. Angka mangsa banjir terus melonjak kepada 37,792 orang melibatkan 10,401 keluarga, berbanding 26,494 orang daripada 7,369 keluarga malam tadi.

FMT

Post a Comment

0 Comments