5 ADUN BN Desak Bung Letak Jawatan!




Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mendesak supaya Datuk Seri Bung Moktar Radin meletakkan jawatan beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dengan serta-merta.

Desakan itu dibuat menerusi satu kenyataan yang diketuai ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya bersama ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya; ADUN Sugut, Datuk James Ratib; ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusuf Yacob dan ADUN Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari.

"Kami telah dikejutkan oleh tindakan beberapa pihak tertentu khususnya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang telah berusaha menjatuhkan kerajaan negeri Sabah yang sah.

"Sesungguhnya kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan dengan ini kami mendesak agar beliau meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah dengan serta-merta kerana tindakan tersebut mencemarkan nama baik parti," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Lima ADUN berkenaan juga turut melahirkan rasa terkilan dan kesal kerana Sabah dan rakyatnya sekali lagi diheret ke dalam krisis politik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Bersama-sama rakyat Sabah, kami berpegang teguh dengan kepercayaan bahawa ini bukan masanya untuk merebut kuasa politik.

"Sebaliknya, sudah tiba masanya untuk bersatu agar kerajaan negeri sekarang dan semua pihak dapat terus menumpukan masa, tenaga dan sumber untuk memulih dan memajukan ekonomi negeri serta meningkatkan taraf hidup rakyat," kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, lima ADUN berkenaan mengisytiharkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri yang sah di sisi perlembagaan.

"Sepertimana juga aspirasi rakyat Sabah, kami mahukan kestabilan politik yang telah wujud selama ini dikekalkan dan menolak sebarang percubaan atau tindakan oleh mana-mana pihak yang ingin menimbulkan kekacauan dan keresahan rakyat.

"Bersama-sama kita berdoa semoga kemelut politik ini segera berakhir agar usaha untuk memakmurkan Sabah yang tercinta ini dapat diteruskan. "Dengan itu, kami sekali lagi menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri," katanya.

Sebelum itu, Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah mendedahkan terdapat lima ADUN BN Sabah tidak bersetuju dengan tindakan parti itu yang menarik semula sokongan pada Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

Post a Comment

0 Comments