Boleh Ker PH Dapat 1 Kerusi DUN Di Kelantan & Terengganu?




SAIFUDDIN Nasution memberitahu media bahawa PH bertekad menghantar suara pembangkang yang kuat jika tidak menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan dan Terengganu.

Pakatan Harapan (PH) bertekad mahu menghantar ‘suara pembangkang yang kuat’ di dua Dewan Undangan Negeri ditakluki Pas iaitu Kelantan dan Terengganu dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas ini. 

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, ini sekiranya gabungan itu tidak dapat mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri yang sekian lama ditadbir oleh Pas. 

“Kami bertekad menghantar suara pembangkang yang kuat kalau tidak sampai (tahap) mengambil alih negeri Kelantan dan Terengganu. 

“Namun, PH berpendapat bahawa peluang kami untuk menang pilihan raya negeri di Kedah. Itu fokus utama dalam konteks pilihan raya negeri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR di sini hari ini. 

Dalam mesyuarat itu juga, Saifuddin berkata, pimpinan tertinggi parti masih belum sampai ke tahap berbincang mengenai kerjasama antara PH dengan Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya negeri, walaupun kedua-duanya telah bekerjasama di peringkat Persekutuan. 

“Mesyuarat tadi disebut secara umum sahaja mengenai pilihan raya negeri. Belum sampai ke situ sebab jawatankuasa pilihan raya akan membuat persiapan dahulu barulah ukur sama ada langkah yang munasabah. 

“Paling penting fokusnya mempertahan tiga negeri milik PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Yang umumnya, pimpinan utama PH meletakkan keyakinan tinggi berasaskan laporan semasa,” katanya. 

–UTUSAN

Post a Comment

0 Comments