Hasni, MP Padang Renggam Katanya Kecewa Dibuli... Hahaha...



Ahli Parlimen Simpang Renggam Hasni Mohammad yang digugurkan daripada jawatannya sebagai ketua Umno Johor, terasa dirinya seperti dibuli.

Ini kerana, bekas menteri besar itu menjelaskan beliau sudah melakukan yang terbaik dengan memperoleh kemenangan majoriti besar pada PRN Johor tahun lalu.

“Saya rasa seperti dibuli. Saya sedaya upaya memberikan yang terbaik sejak menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor pada 2018 dan mengetuai PRN Johor tahun lalu sehingga memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN.

“Saya rasa, hanya kerana saya menyokong idea supaya jawatan tertinggi parti dipertandingkan, mereka merasakan bahawa saya menentang kehendak parti,” katanya menurut Berita Harian.

ADUN Benut itu berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukannya yang diambil alih Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin.

Hasni berkata jika keputusan menggantikan beliau dengan Ahli Parlimen Kota Tinggi itu boleh menguatkan kedudukan Khaled di peringkat pusat, tiada masalah untuk beliau menyokong keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, akan timbul masalah, jika tujuan utama keputusan itu adalah sebaliknya.

“Tetapi, jika kedudukan itu hanya semata-mata pendekatan untuk mempertahankan orang-orang tertentu, saya percaya beliau akan menghadapi kesukaran untuk berbuat demikian,” tegasnya.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada Jumaat membuat keputusan menggugurkan Hasni daripada jawatan berkenaan.

Umno turut memecat bekas ketua pemudanya Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar.

Beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuk : 
  • Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein; 
  • Bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan; 
  • Bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Mohd Sharif dan 
  • Ketua Umno Bahagian Tebrau, Maulizan Bujang.

Hasni menambah beliau hadir pada mesyuarat malam berkenaan namun tidak diberikan peluang untuk memberi penjelasan.

Bagaimanapun, Hasni berharap pemimpin Umno yang dipecat atau digantung masih berpeluang membuat rayuan, sambil menegaskan dirinya masih ahli MKT Umno.

Post a Comment

0 Comments