Kes Sanusi vs Anwar - Mahkamah Arah Sanusi Jawab Dakwaan Kenyataan "Muflis Bermoral"



Mahkamah Tinggi Alor Setar memerintahkan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor menjawab saman Anwar Ibrahim atas dakwaan mengeluarkan kenyataan beliau “muflis bermoral”.

Peguam Anwar dari Tetuan SN Nair & Partners, berkata mahkamah mengarahkan Sanusi memfailkan pernyataan pembelaan sebelum 13 Feb ketika pengurusan kes.

Ahli Parlimen Tambun itu kemudian diperintahkan memfailkan jawapan, sekiranya ada, kepada pembelaan Sanusi, sebelum 13 Mac.

Mahkamah menetapkan 20 Mac bagi pengurusan kes seterusnya.

Sanusi didakwa mengeluarkan kenyataan itu dalam ucapannya pada PRU. Video ucapannya itu dimuatnaik dalam Facebook, selain kandungan ucapan berkenaan juga dilaporkan dalam media.

Pada 17 Nov, Anwar menuntut Sanusi segera menarik balik kenyataan terbabit. Bagaimanapun, sehari selepas itu, Sanusi berkata, beliau tidak akan memohon maaf dan bersedia berdepan Anwar di mahkamah.

Anwar yang juga presiden PKR menuntut ganti rugi kerana fitnah dan/atau libel terhadap Sanusi kerana merosakkan reputasinya, termasuk injuksi terhadap pengarah pilihan raya PAS itu daripada menerbit atau menerbitkan semula kenyataan yang dianggap memfitnah.

Dalam pernyataan tuntutannya itu, Anwar mendakwa Sanusi membayangkan bahawa beliau telah menyalahgunakan kuasa sebagai Ahli Parlimen, penipu, pengkhianat, munafik dan bukan Islam yang baik.

Anwar menerima pengampunan diraja penuh dari Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun 2018 bagi tiga sabitan terhadapnya – iaitu satu tuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan liwat – atas alasan berlakunya “salah laksana keadilan”.

Katanya, pengampunan berkenaan juga diperkenan atas dasar berlakunya konspirasi untuk memusnahkan karektornya.

Post a Comment

0 Comments