MAC Depan, Pelajar Akan Dapat Duit Yang Telah Dirompak.. Jangan Risau




Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan wang peruntukan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM109,000 yang dilarikan penjenayah dalam satu kejadian di pekan Semenyih, Isnin lalu, akan diganti dan diagihkan kepada murid sebelum sesi persekolahan bermula Mac depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang mengakui ralat dengan kes kehilangan wang itu, berkata KPM sedang menunggu kelulusan dan jawapan daripada Kementerian Kewangan (MOF) mengenai gantian tersebut.

"Duit yang hilang itu akan diganti. Jangan risau, itu hak anak-anak. Kita ralat dan kesal dengan kejadian ini berlaku tetapi pastinya keutamaan adalah hak anak-anak ini yang kita mesti serahkan kembali hak mereka," katanya dalam sidang media selepas majlis Amanat Tahun Baharu bersama warga kementerian, di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata guru besar sekolah berkenaan juga akan disiasat mengikut tatatertib penjawat awam kerana berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kewangan sewaktu pengeluaran wang BAP.

KPM menyerahkan kepada polis dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi menyiasat insiden berkenaan, katanya, JPN Selangor juga sudah bertemu dengan guru besar berkenaan dan akan mengumumkan hasil siasatan itu kemudian.

Pada Isnin lalu, dilaporkan wang tunai BAP berjumlah lebih RM100,000 dikeluarkan seorang guru besar dilarikan penjenayah di pekan Semenyih. Wang itu dipercayai dikeluarkan dari sebuah bank oleh pengetua sekolah secara bersendirian.



- Malaysiakini

Post a Comment

1 Comments

  1. Pdrm perlu siasat guru besar terbabit. Adakah ia kemungkinan satu jenayah yang dirancang?

    ReplyDelete