MUDA Desak PM10 Hentikan Monopoli Touch N GO




Pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia MUDA, Mutalib Uthman menyeru kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghentikan monopoli syarikat kad pembayaran elektronik Touch n’ Go.

Umum mengetahui, untuk menggunakan lebuhraya, rakyat yang tiada pilihan lain selain menggunakan servis syarikat ini telah menyumbang kepada monopoli ini.

Walau sudah lama bertapak di Malaysia, sistem yang disediakan oleh syarikat ini seharusnya tidak mempunyai sebarang cacat cela yang menyusahkan pengguna.

Begitu ramai rakyat mengadu bahawa servis yang disediakan membebankan rakyat dan sentiasa berada di takuk lama dengan tidak mengikut peredaran zaman.

Namun, keluh kesah rakyat ini nampaknya tidak dihiraukan kerana kejayaan syarikat memonopoli industri pembayaran elektronik membolehkan mereka bertindak sesuka hati.

Oleh yang demikian, Mutalib yang juga bekas calon Parlimen Masjid Tanah menggunakan platform akaun Twitternya yang mempunyai lebih 20,000 pengikut dengan harapan ianya mendapat perhatian kerajaan.

“Banyak-banyak monopoli, monopoli Touch n Go lah perkara nombor wahid, kerajaan perpaduan PMX @anwaribrahim wajib hapuskan,” katanya.

Di dalam ciapan itu, beliau memberikan 10 sebab mengapa sistem ini harus dihapuskan antaranya kelemahan kad Touch n’ Go yang tidak boleh ditambah nilai di atas talian.

Selain itu servis TnG e-wallet yang ditawarkan syarikat ini juga tidak boleh digunakan di lebuhraya Highway Plus dan pengguna akan dikenakan caj 10% jika menggunakannya untuk membayar parkir.

“Untuk tambah nilai kad TnG bodoh itu, pergi kaunter tambah nilai, servis offline, pergi kiosk layan diri, kad debit atau Qrpay tak boleh pakai. Tambah nilai di pam minyak, ada caj servis 0.50sen,” tambahnya.

Ciapan Mutalib ini dipersetujui oleh ramai pengguna yang bersetuju agar kerajaan mengambil langkah proaktif bagi menghalang monopoli syarikat yang sudah berada di Malaysia 26 tahun lalu.

“PMX tolong mansuhkan syarikat Touch n Go ini. Atok dah tak berkuasa lagi. Tolong bagi peluang kepada rakyat Malaysia yang bekerja keras untuk memudahkan hidup orang lain, bukan kroni pemalas yang menyusahkan rakyat,” kongsi pengguna bernama Syafiq Afiq.

“Kalau @anthonyloke n @anwaribrahim dapat menyelesaikan kecelakaan paling malang untuk rakyat malaysia ni, memang inilah pentadbiran paling baik abad ini.” kata pengguna lain.

Untuk rekod, Mutalib Uthman digantung keahlian selama tiga tahun dan digugurkan daripada jawatannya berkuat kuasa 27 Disember tahun lalu.

Malaysiadateline

Post a Comment

0 Comments