Ketua Penerangan Bersatu merangkap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah berhubung dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd (Nepturis) mendapatkan projek 'Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur' daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232,000,000.

Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Nepturis sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Kegiatan tersebut didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di Kuala Lumpur, sekitar April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di Kuala Lumpur antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sept 2022.