Pendakwah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub tidak pernah dipelawa untuk membuat permohonan tauliah melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) sebelum ini.
Malah, beliau juga belum pernah mengadakan perjumpaan dengan JAIPs seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Wadi Annuar berharap penjelasan ini akan merungkai kekeliruan dan memperbetulkan semula persepsi negatif selepas kekecohan yang berlaku di program Solat Tarawih dan Sembang Santai bersama Ustaz Wadi Annuar di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar baru-baru ini.
Jabatan Mufti Negeri Perlis yang mengeluarkan tauliah dan JAIPs yang melaksanakan penguatkuasaannya dalam kenyataan media mendakwa, Ustaz Wadi Annuar sudah ditawarkan dan dipelawa untuk memohon tauliah.
“Kita hendak tengok juga siapa dia yang hendak ceramah tetapi dia enggan malah semasa dua kali perjumpaan bersama JAIPs juga sudah ditegaskan supaya minta tauliah terlebih dahulu tetapi beliau tetap juga enggan dengan alasan tersendiri seperti ceramah itu dilakukan di premis peribadi dan sebagainya.“Oleh hal demikian, apabila peristiwa ini berlaku, kita tengok ia sudah sampai ke tahap di mana toleransi kita selama ini dianggap dan diambil sebagai satu ruang untuk mempersendakan peraturan apatah lagi setelah dikeluarkan titah oleh Raja Perlis dan bukan sahaja Raja Perlis yang keluarkan titah seperti ini Sultan dan pemerintah di negeri lain juga mengeluarkan perkara yang sama,” katanya Mufti Perlis yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perlis, Jabatan Mufti Negeri Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Mengulas kejadian itu, Ustaz Wadi Annuar berkata, pihak penganjur memaklumkan program tersebut diadakan di premis persendirian pada Khamis lalu bukanlah majlis agama.
Sebaliknya hanya sembang santai dengan penduduk sekitarnya dan melibatkan beberapa berkaitan isu semasa.
“Saya dimaklumkan oleh pihak penganjur program in bukanlah majlis pengajian agama, hanya program sembang santai bersama masyarakat setempat melibatkan beberapa soalan berkaitan perkembangan NGO kelolaan saya, keadaan terkini ibadat umat Islam di Mekah dan Madinah dan beberapa kupasan is semasa.“Maka saya menerima jemputan yang diadakan di premis persendirian tersebut yang tidak memerlukan tauliah agama negeri.“Saya juga menjunjung perintah DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Puta Jamalullail dan tidak pernah mempersendakan peraturan yang dititahkan oleh DYMM Raja Perlis,” tambah beliau dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan sudah menerima surat perintah hadir siasatan oleh JAIPs pada 7 April ini.
Namun disebabkan jadual yang padat, pendakwah ini meminta pihak berkenaan menunda ke tarikh baru iaitu 17 April.
“Saya sendiri yang memohon untuk mengubah tarikh hadir siasatan pada 17 April 2023 dan diterima oleh pihak berkenaan,” jelasnya.
– MalaysiaGazette
0 Comments