Strok Haba - 14 Kes Sudah Dilaporkan ?



Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 14 kes strok haba akibat cuaca panas setakat semalam.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Suani berkata, pihaknya menjangkakan kes strok haba terus meningkat akibat cuaca panas yang berlaku hingga Ogos ini.
“Sehingga semalam, 14 kes dilaporkan namun masih terkawal dan mampu ditampung di fasiliti kesihatan seluruh negara.

“Terdapat enam kes dilaporkan di Kelantan, Sarawak (5) dan Sabah (3) sehingga semalam dengan paling ramai membabitkan golongan dewasa iaitu tujuh kes,”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan 4th Intermediate Electrocardiogram Conference 2023 anjuran Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, daripada jumlah kes itu, 13 mangsa sudah pulih kecuali satu kes kematian di Kelantan membabitkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Menurutnya di peringkat KKM, kepimpinan tertinggi telah melakukan usaha dan mendengar taklimat daripada kementerian berkaitan serta bersiap siaga bagi menghadapi strok haba yang berpanjangan.

Sementara itu, Lukanisman berkata, KKM turut mengenal pasti lokasi yang mengalami suhu tinggi menerusi kerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk tindakan segera termasuk menyediakan fasiliti-fasiliti kesihatan.
“Ibu bapa diminta tidak terlalu bimbang untuk hantar anak ke sekolah, sebaliknya mengambil langkah berjaga-jaga terutama pengambilan air secukupnya selain tidak melakukan riadah sukan berlebihan.

“Pesawah, peladang dan pekebun juga perlu berhati-hati pada musim panas, perlu berehat dan minum air secukupnya bagi mengelak sebarang insiden,”


– Bernama

Post a Comment

0 Comments