Temubual CNN - Anwar & LGBTQ



Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang beragama Islam telah disoal oleh CNN berkenaan tindakan tegas untuk membasmi penjualan jam tangan bertema pelangi “Pride” oleh Swatch di Malaysia. 

Anwar Ibrahim berkata ianya atas dasar “konsensus” rakyat yang menolak gejala mempromosi LGBTQ secara terbuka. Akan tetapi, Anwar Ibrahim juga mengatakan pengamal LGBTQ dalam negara tidak wajar diganggu. 

“Konsensus” bermaksud persefahaman umum yang tidak semestinya mempunyai ikatan perundangan. Ini seolah mengatakan gejala LGBTQ boleh diamalkan di Malaysia tanpa implikasi perundangan. 

Hubungan sejenis yang diamalkan oleh LGBTQ merupakan satu kesalahan jenayah yang terikat dengan perundangan di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang melibatkan hubungan sejenis.

Seksyen ini bukan sesuatu yang baru, malah telah wujud sejak 1938. Singapura yang dulunya sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu juga mengguna pakai seksyen ini sekian lama. Hanya pada 28 November 2022, seksyen ini dimansuhkan oleh parlimen Singapura, walaupun undang-undang melarang perkahwinan sejenis masih lagi dikekalkan. 

Manakala untuk kegiatan mempromosi gejala hubungan sejenis pula, ianya dilarang di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1974. Justeru, selagi gejala hubungan sejenis adalah haram di bawah perundangan Malaysia, sebarang usaha mempromosikannya seperti kempen pelangi “Pride” juga adalah haram. 

Untuk Malaysia, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memaktubkan “Islam adalah agama BAGI persekutuan”. Peruntukan ini tidak boleh diubah sekadar di parlimen seperti di Singapura kerana ianya antara peruntukan perlembagaan yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja. 

Maka, sebarang gejala yang bercanggah dengan syariat Islam tidak boleh dibenarkan, apatah lagi jika ianya sudah pun diperuntukkan di bawah sistem perundangan dan memberi kesan terus kepada lebih dua pertiga jumlah penduduk negara yang terdiri daripada penganut agama Islam. 

Dalam pada itu, gejala hubungan sejenis seperti LGBTQ adalah bercanggah dengan kesemua amalan agama di Malaysia. Kepercayaan kepada agama adalah sejajar dengan prinsip pertama Rukunegara, iaitu “Kepercayaan kepada Tuhan”. Oleh yang demikian, kebebasan beragama di Malaysia bukanlah kebebasan untuk tidak beragama seperti yang diperjuangkan pendokong fahaman sekular. 

Secara keseluruhan, penolakan gejala LGBTQ bukanlah atas dasar konsensus, tapi merupakan dasar perlembagaan yang menjunjung Islam sebagai agama persekutuan dan juga dasar masyarakat beragama. Namun, ada kalanya sesetengah pihak yang berkepentingan secara suka hati merobek prinsip agama dan negara semata-mata memuaskan nafsu untuk berkuasa. 


Malaysia’s PM @anwaribrahim says Malaysia will never recognize LGBTQ rights. Recently prison sentences were threatened for selling rainbow watches. “I wouldn’t defend that,” Ibrahim tells me. He says he’d like to see things change, but must respect the consensus of the people. - Christiane Amanpour



Post a Comment

0 Comments