Setakat baju cantik, tapi tak mampu bawa pulang pingat.. Buat apa?


Rekaan yang cantik pada pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2024 tidak membawa sebarang erti, sekiranya mereka gagal menjelmakan kilauan emas sulung negara di Paris nanti.

Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata tema utama pakaian rasmi dihasilkan termasuk penggunaan warna emas berbanding jingga sebelum ini, bertujuan untuk membawa aura pingat yang menjadi idaman kontinjen negara pada temasya sukan berprestij dunia tersebut.

"Kita sudah setuju dengan Yonex (pengeluar pakaian rasmi) untuk tunjuk warna emas...warna jingga sudah lama sejak 2004 lagi, jadi ramai atlet sebelum ini minta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk tukar warna lain.

"MOM sudah sepakat dengan Yonex untuk tukar kepada warna emas kerana kita menyasarkan untuk menang pingat emas, itu sebenarnya tema dan Yonex juga berpendapat warna emas padan dengan warna hitam...jika warna cantik tapi tidak dapat emas atau pingat tidak guna juga," katanya kepada pemberita selepas meninjau sesi latihan pemain perseorangan wanita profesional Goh Jin Wei di sini, hari ini.

Beliau juga menjelaskan penggunaan bendera Malaysia di sebelah kiri pakaian rasmi tersebut yang kurang tepat seperti dibangkitkan pengguna media sosial, sebenarnya merupakan logo rasmi MOM.

"Warna jingga, emas, hitam biru semua boleh, ini logo Majlis Olimpik Malaysia bukan bendera Malaysia, jadi tiada masalah," katanya.

Hamidin yang juga Timbalan Presiden MOM berkata rata-rata atlet negara yang bakal beraksi pada Sukan Olimpik 2024, bersetuju dengan rekaan pakaian rasmi kontinjen negara di Paris.

Post a Comment

0 Comments