Senator PAS Nik Mohamad berpendapat bekas perdana menteri Najib Razak tidak perlu mendapatkan tahanan rumah, sebaliknya bebas sepenuhnya.
“Saya tidak cadangkan beliau diberi tahanan rumah. Hak beliau adalah bebas sepenuhnya,” kata anak bekas tokoh legenda PAS allahyarham Nik Aziz Nik Mat.
Awal bulan ini, anak Najib, Mohd Nizar memfailkan afidavit bahawa Sultan Pahang memberitahunya tentang kewujudan titah tambahan untuk membolehkan bapanya menjalani baki hukuman penjara enam tahun menerusi tahanan rumah.
Kerajaan setakat ini tidak mengesah atau menafikannya perkara itu. Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu parlimen bahawa dia tidak boleh mengulasnya kerana ia telah menjadi urusan mahkamah.
Menulis di media sosial hari ini, Nik Abdul menyatakan pendirian itu setelah lama diam daripada mengulas isu itu.
Berdasarkan fakta-fakta dalam perbicaraan mahkamah, Nik Abduh percaya dia tidak melakukan sebarang kesalahan.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kes rasuah membabitkan penyelewengan dana RM42 juta SRC International.
Keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Jan lalu mengurangkan hukuman itu kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
Bagaimanapun, Sultan Pahang yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan dikatakan turut mengeluarkan perintah tambahan supaya Najib menjalani baki hukumannya di rumah.
Najib memfailkan semakan kehakiman dalam usaha untuk memaksa kerajaan mengesahkan titah tambahan itu dan menguatkuasakan titah itu.
Najib kini sedang berdepan kes lain berkaitan pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung RM2.28 bilion dana 1MDB.
0 Comments