Seorang mangsa kebakaran rumah di Kelantan meluahkan rasa terkejut dan terkilan apabila wakil sebuah parti politik didakwa datang menuntut semula barang sumbangan seperti peti sejuk dan tikar getah selepas rumahnya musnah dijilat api.
Wanita itu memaklumkan, barang sumbangan tersebut diterima kira-kira 7 bulan lalu, namun tidak disangka “nikmat yang sekejap itu ditarik semula” sebaik sahaja dia ditimpa musibah.
Kejadian ini mengundang kecaman netizen yang menganggap tindakan meminta semula bantuan adalah tidak berperikemanusiaan, apatah lagi dalam saat mangsa sedang diuji dan memerlukan sokongan.
“Saya tak sangka. Barang tu pun dah lama guna. Sekarang rumah pun dah tak ada,” kata mangsa seperti dilaporkan mStar.
Tindakan wakil parti itu turut mencetuskan persoalan mengenai ikhlas atau tidak pemberian bantuan yang selama ini diwar-warkan sebagai khidmat rakyat.
Wakil parti politik yang datang menuntut semula barang bantuan seperti peti sejuk dan tikar getah memberi alasan bahawa barangan tersebut adalah milik parti dan hanya 'dipinjamkan' kepada penerima, bukan diberikan secara tetap.
Mangsa mendakwa, dia dimaklumkan bahawa barang tersebut perlu dipulangkan kerana rumahnya sudah terbakar dan tidak dapat lagi digunakan — seolah-olah barang itu tidak lagi “bermanfaat” jika terus berada di tangan mangsa.
Namun, tiada sebarang hitam putih atau perjanjian pinjaman yang diberikan ketika bantuan disalur. Mangsa menyangka pemberian itu adalah ikhlas dan kekal kerana diserahkan secara rasmi dalam program bantuan.
Tindakan ini menimbulkan kemarahan orang ramai, yang menyifatkannya sebagai tidak sensitif, tidak bertanggungjawab dan mencemarkan imej kebajikan yang sepatutnya didahulukan dalam politik.
Setakat ini, belum ada sebarang penjelasan rasmi daripada pihak yang terlibat.
Petikan Asal : Mstar
0 Comments