Pejabat Kerajaan atau Bank Rahsia? RM20 Juta Dalam Pantri, SPRM Pun Terkejut



“Bukan semua duit tu saya punya... saya cuma tumpang simpan sikit je. Selebihnya dah memang ada.” – lebih kurang macam tu lah bunyi kenyataan bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ag Tahir Talib, di mahkamah baru-baru ini.

Dalam perbicaraan kes yang cukup menarik perhatian, Ag Tahir menjelaskan bahawa hanya RM3 juta sahaja daripada RM20 juta wang tunai yang ditemui SPRM di pantri pejabatnya pada tahun 2016 adalah miliknya. Ya, betul. Pantri. Tempat orang simpan kopi, biskut dan milo.

Saya cuma tumpang sikit je…

Menurut beliau, duit itu memang dah sedia ada waktu dia mula bertugas. Macam beli rumah sewa siap dengan peti sejuk – cuma yang ini peti sejuk penuh dengan bundle duit tunai.

Lagi menarik, RM3 juta tu katanya untuk ‘sumbangan politik’, sebab abang dia bendahari Umno. Pantri pejabat kerajaan dijadikan tabung dana politik. Rakyat simpan syiling dalam tabung ayam, orang dalam simpan juta-juta dalam pantri.


Tak tahu isteri ada 19 akaun bank?

Semasa disoal tentang isteri beliau yang memiliki 19 akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM2.2 juta, beliau dengan selamba jawab tak tahu-menahu. Katanya, tak tahu pun isteri dia menyimpan duit sebanyak tu. Agaknya, masing-masing simpan duit macam main teka-teki.

Dan bukan itu saja – 900 barangan kemas turut ditemui SPRM, dengan nilai semasa cecah RM4.1 juta, tapi beliau kata dia tak tahu. Mungkin disangkakan itu barang hantaran kahwin orang lain yang tersalah hantar ke rumah.

Saya duduk situ, tapi saya tak nampak apa-apa

Paling menghiburkan ialah bila ditanya sama ada beliau menyaksikan proses serbuan SPRM di pejabatnya – jawapan beliau:
“Saya duduk di situ, tapi saya tak nampak apa-apa.”
Mungkin sebab terlalu banyak duit, jadi penglihatan kabur. Atau mungkin pantri tu guna sihir – macam Narnia – masuk je, terus hilang ingatan.

Duit, Barang Kemas & "Go Away"

Satu lagi aksesori pejabat yang menarik perhatian ialah papan tanda bertulis “Go Away” di pintu pejabat. Agaknya ditujukan khas untuk SPRM. Tapi malangnya, mereka tak patuh SOP papan tanda.

Sekadar info: Ag Tahir, isterinya Fauziah Piut dan bekas Timbalan Pengarah Lim Lam Beng kini berdepan 37 pertuduhan pengubahan wang haram, melibatkan RM61.57 juta termasuk barangan mewah.

Rakyat disuruh berjimat. Kerajaan suruh ikat perut. Tapi di pantri ada RM20 juta "tersimpan". Malaysia, truly Asia.

Kalau nak tahu sambungan kisah pantri emas ni, perbicaraan akan bersambung 23 Julai. Mungkin ada lagi ‘harta karun’ yang belum dibongkar.

Sumber Asal : Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments