Pas tidak melarang sesiapa pun daripada membuat kenyataan sama ada dalam kalangan agamawan ataupun bukan mengenai tindakan parti itu di Perlis.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas juga tidak melarang sama ada kenyataan itu menyokong mereka atau pun tidak.
“Kebebasan bersuara tidak dihalang dalam sebuah negara demokrasi asalkan jangan terbabas atau bercakap tanpa pengetahuan yang betul atau jahil murakkab yang tidak sedar dirinya jahil dan berlagak tahu semua perkara.“Akhirnya, akan memalukan diri sendiri. Prinsip tidak memisahkan Islam daripada politik menjadi akidah perjuangan Pas bahkan dimaktubkan dalam perlembagaannya.“Semua tindakan dilakukan mengikut disiplin jemaah sepertimana yang ditetapkan dalam undang-undang tubuhnya. Pas tidak bercakap dengan cara yang terpilih dalam melaksanakan kewajipan amar ma‘ruf nahi munkar. Bahkan, semua ahli Pas ditarbiah menghadapi sesiapa sahaja dan tidak takut kepada apa-apa tindakan, daripada pihak berkuasa yang paling tinggi dalam negara hinggalah tindakan rakyat yang menghukum melalui pilihan raya,” katanya dalam Minda Presiden Pas hari ini.
Menurut Abdul Hadi, Pas berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah dalam semua urusan bukan terpilih mengikut kemahuan atau disebabkan takut-takutan.
Menjadi ketetapan Allah apabila hendak mencipta manusia dengan menentukan kewajipan mereka dalam tiga perkara iaitu aspek ibadah, khilafah (politik) dan amanah. Tiga perkara itu tidak boleh dipisahkan, katanya.
Menurut Abdul Hadi, penubuhan Pas oleh kumpulan Islam selepas kehilangan negara merupakan usaha menunaikan kewajipan menyambung perjuangan Islam dengan dipimpin oleh para ulama’ dan ilmuwan Islam dalam segala lapangan.
“Hal ini demikian kerana, Pas menjadikan politik satu kewajipan dan tidak menjadikan politik satu permainan dan kerja sambilan.“Pas berpolitik dengan ilmu dan matang dalam memahami isu serta tidak boleh diganggu oleh mereka yang tidak bertafaqquh dalam politik dan salakan anjing yang menjadi khadam kepada syaitan yang mengacau dalam perjalanannya.“Pas tidak menyerah kalah, walaupun ramai dalam kalangan ahli dan pemimpinnya menjadi mangsa kezaliman. Maka, untuk melaksanakan kewajipan politik Islam dalam perkara yang besar, diwajibkan baiah kepada pemimpin dan petugas yang penting seperti wakil rakyat, supaya taat dan wala’ (setia) kepada arahan dan perintah kepimpinan jemaah yang tidak bercanggah dengan dasar Islam yang bersifat rukun dalam perjuangan.“Maka, Pas tidak mudah diperdaya oleh syaitan-syaitan yang banyak. Kalau ada yang terpedaya atau tergoda, akan diambil tindakan disiplin mengikut hukum Islam,” katanya.
Pas juga telah membuktikan kejayaannya di beberapa negeri yang dikuasainya dengan menegakkan kerajaan yang bersih sehingga diakui oleh kawan dan lawan.
“Hal ini dilakukan dengan berpegang teguh kepada prinsip aqidah dan konsep muhasabah yang betul. Pas juga boleh bekerjasama serta berta‘awun dengan semua pihak,” katanya.
Menurut beliau, Pas menolak kalangan yang berani memberi nasihat yang terpilih sahaja dan berlagak berani bukan kerana benar tetapi kerana mengampu yang meletakkan fikirannya di dalam perutnya.
“Pas juga menolak kalangan yang berilmu tetapi tidak bertafaqquh dalam urusan yang diperkatakannya lalu membuat tafsiran yang salah tanpa kefahaman dalam lapangan yang disentuhnya,” katanya
MalaysiaGazette
0 Comments