PAS Perlis: Strategi Gagal, Kuasa Tergadai


Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis akhirnya membongkar kegagalan besar strategi politik PAS. Dua calon MB yang dikemukakan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, ditolak oleh Raja Perlis, sekali gus menutup terus laluan PAS ke kerusi tertinggi negeri itu.

Keputusan istana memilih ADUN daripada Bersatu sebagai Menteri Besar baharu bukan sekadar tamparan, tetapi simbol jelas bagaimana percaturan PAS memakan diri sendiri. Lebih tragis, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri PAS menjadi mangsa pemecatan — bukan kerana kesalahan prinsip, tetapi dijadikan kambing hitam untuk menutup kegagalan kepimpinan atasan.

Ironinya, usaha menyingkirkan MB Perlis yang juga besan sendiri akhirnya berbalik menghukum PAS apabila Sultan memilih calon daripada Bersatu. Maka naiklah Abu Bakar Hamzah sebagai MB — satu pelantikan yang bagi ramai pemerhati, mengulangi skrip lama seperti era Shahidan Kassim: kuasa sebenar tidak semestinya di kerusi MB, tetapi di tangan pemain politik yang mengawal parti dan gabungan.

Hakikatnya, Shahidan sebagai Pengerusi PN Perlis dan Abu Bakar sebagai Pengerusi Bersatu Perlis serta Timbalan Pengerusi PN negeri, membentuk struktur kuasa yang menjadikan Perlis hampir sepenuhnya di bawah kawalan Bersatu. PAS yang kononnya kuat dengan tarbiyah, kesetiaan jemaah dan disiplin organisasi, kini hanya mampu melihat dari tepi bagaimana “kebijaksanaan” politik presidennya membawa padah.

Apa yang tinggal hanyalah kekecewaan akar umbi — jemaah yang selama ini setia, terdidik dan patuh, terpaksa menelan realiti pahit apabila kepentingan kuasa mengatasi hikmah dan kebijaksanaan sebenar dalam berpolitik.



Post a Comment

0 Comments