Tehran | Rabu, 14 Januari 2026 - Pihak berkuasa Iran mengumumkan kejayaan berterusan dalam mengenal pasti dan menahan dalang keganasan susulan rusuhan yang melanda ibu negara baru-baru ini. Menurut Kementerian Perisikan Iran, penahanan itu dibuat dengan kerjasama berkesan orang awam.
Dalam satu kenyataan rasmi, kementerian itu memaklumkan bahawa rusuhan telah menyasarkan tempat awam, lokasi keagamaan serta pasukan keselamatan di Tehran melibatkan sekurang-kurangnya tujuh kawasan utama. Antara insiden serius yang dilaporkan termasuk pembakaran dua buah masjid, sekatan di salah satu lebuh raya utama Tehran, serta pembunuhan dua anggota Basij, pasukan sukarelawan yang membantu keselamatan negara.
Hampir 300 Perusuh Ditahan
Ketua Polis Iran mengesahkan seramai 297 perusuh telah dikenal pasti dan ditahan kerana terlibat dalam perosakan harta awam. Dalam operasi keselamatan berterusan itu, dua individu yang diklasifikasikan sebagai pengganas dilaporkan terbunuh, manakala 17 yang lain cedera.
Pihak polis turut merampas pelbagai senjata api dan senjata tajam, selain bahan letupan, yang ditemui di beberapa lokasi persembunyian kumpulan terbabit.
Kaitkan Rusuhan Dengan Sokongan Asing
Menurut pihak berkuasa, 20 kes siasatan telah dibuka berhubung hubungan individu yang ditahan dengan kumpulan pengganas yang didakwa bersekutu dengan rejim Israel, termasuk agensi perisikan Mossad. Kerajaan Iran mendakwa rusuhan tersebut turut menerima sokongan perisikan, operasi, logistik dan kewangan dari Amerika Syarikat serta Israel.
Upacara Pengebumian 100 Syuhada
Dalam perkembangan berkaitan, upacara pengebumian 100 syuhada akibat rusuhan yang didakwa didalangi pihak asing dijadualkan berlangsung pada Rabu jam 2 petang waktu tempatan di Tehran. Ketua Yayasan Syuhada, Ahmad Mousavi, berkata mangsa terdiri daripada orang awam dan anggota keselamatan yang terbunuh menggunakan pelbagai jenis senjata termasuk senjata api, pisau dan kapak.
Protes Ekonomi Bertukar Rusuhan
Pihak berkuasa Iran menjelaskan bahawa protes asalnya berpunca daripada tekanan ekonomi, namun telah bertukar menjadi rusuhan ganas selepas dipengaruhi kenyataan pemimpin Amerika Syarikat dan Israel. Kerajaan menegaskan komitmen untuk menangani masalah ekonomi rakyat, tetapi pada masa sama memberi amaran tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menukar protes aman menjadi huru-hara dan keganasan.
Iran menyifatkan rusuhan ini sebagai usaha musuh untuk menampung kegagalan mereka dalam serangan ketenteraan secara langsung terhadap negara itu, sambil menegaskan keselamatan dan kestabilan negara akan terus dipertahankan.

0 Comments