Pagi Jumaat lalu, ada beberapa orang aktivis anak muda tanya saya kalau mereka anjurkan demonstrasi untuk zahirkan kemarahan dan tuntutan berkenaan Tan Sri Azam Baki, apakah saya sudi untuk hadir.
Saya kata Insya Allah saya boleh hadir.
Saya juga maklumkan secara terbuka dalam sidang media pagi Jumaat lalu bahawa kami, 8 orang ahli parlimen PKR yang mengambil pendirian keras mengenai isu integriti Tan Sri Azam Baki ini, mencadangkan supaya BERSIH2.0 mengetuai gabungan rakyat menganjurkan demonstrasi.
Pukul 4 petang hari Jumaat, notis dipaparkan oleh BERSIH2.0 memanjangkan penganjuran demonstrasi oleh gabungan NGO (yang kebanyakannya anak-anak muda) menuntut siasatan bebas ke atas Tan Sri Azam Baki.
Alhamdulillah, dengan notis 24 jam sahaja dan ketika orang sudah mula bercuti, kehadiran itu baik.
Saya tak tahu berapa orang yang hadir, boleh suruh AI (artificial intelligence) kira dan anggarkan ha3.
Saya cuma ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur dan rakyat kerdil yang hadir.
Ia mengingatkan saya kepada siri demonstrasi #KitaLawan yang bermula bulan Februari 2015.
Ketika itu, Dato’ Seri Anwar kembali ke penjara setelah dijatuhkan hukuman kali kedua.
PAS sudah berjauh hati dan Pakatan Rakyat retak menunggu belah.
Tanpa PAS, pada ketika itu, pimpinan BERSIH2.0 pun tidak yakin sebarang demonstrasi akan berjaya menarik kehadiran.
Dalam PKR pula, kepimpinan sudah dikuasai oleh kumpulan Dato’ Seri Azmin Ali yang tidak berminat pun untuk berdemonstrasi atau membawa isu 1MDB, rasuah kerajaan dan sebagainya.
Ketika itu, saya adalah Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR. Ketua Angkatan Muda adalah Nik Nazmi.
Maka kami buat keputusan, kalau ada 10 orang pun, kita kena mulakan siri demonstrasi yang kami panggil #KitaLawan untuk terus mendedahkan mengenai 1MDB, kepincangan pentadbiran Dato’ Seri Najib dan membakar semangat melawan rakyat.
Memang betul, demonstrasi #KitaLawan yang pertama hanya ada kurang dari 50 orang. Saya tak sempat hadir sebab 2 hari sebelum demonstrasi dah kena tangkap.
Kemudian Nik, Lih Kang (sekarang dah menteri), Kar Hing (Ahli Parlimen Gopeng), Chean Chung (Ahli Parlimen PJ), Wei Kiat (ADUN Rawang), Akmal (sekarang dah menteri) dan yang muda-muda teruskan anjurkan yang seterusnya.
Merasa jugalah Nik, Lih Kang, Chean Chung dan Kar Hing pakai baju lokap menjadi penganjur demonstrasi.
Selepas beberapa siri, demonstrasi #KitaLawan dalam bulan Mac 2015 ada kehadiran yang baik dan menambah keyakinan kami bahawa rakyat akan tetap menyokong kalau isu yang dibawa itu tepat dengan jiwa mereka.
Saya tidak tahu berapa banyak lagi demonstrasi #TangkapAzamBaki ini akan diadakan.
Saya pun makin berumur dan sudah berpuluh tahun menyertai demonstrasi.
Tapi kalau saya jadi Nurul Izzah atau Dato’ Seri Saifuddin Nasution yang boleh bisikkan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim, saya akan sampaikan cerita siri demonstrasi #KitaLawan ini.
Sebab dia dalam penjara masa itu, mungkin dia tak tahu.
Sebab teladannya ialah jangan sekali-kali memandang rendah semangat sekumpulan kecil rakyat, terutamanya yang anak muda, sekiranya mereka rasa yang mereka perjuangkan itu adalah benar dan tanpa ada kepentingan peribadi kepada mereka.
Lama-lama suara mereka itu akan turut disambut oleh rakyat yang lain.
Isu integriti Tan Sri Azam Baki ini benar-benar menepati semua ciri-ciri itu.
Jumpa lagi di demonstrasi #TangkapAzamBaki, jika dianjurkan lagi.
Tolong bagi notis awal sikit ha3.






0 Comments