Ultimatum 48 Jam Waytha Moorthy Kepada Anwar Ibrahim

Isu sensitif perkauman kembali memanaskan suhu politik negara apabila bekas Menteri Perpaduan, P Waytha Moorthy, mengeluarkan ultimatum 48 jam kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan serius yang dikaitkan dengan kenyataan Anwar mengenai seorang bekas menteri yang didakwa mencetuskan ketegangan kaum.

Dalam laporan tersebut, Anwar dilaporkan menyebut wujud dakwaan kononnya penganut Hindu di Malaysia tidak dibenarkan mengamalkan agama mereka dan terdapat individu yang “dibunuh dalam tahanan”. Walaupun nama tidak disebut secara langsung, Waytha Moorthy mendakwa kenyataan itu seolah-olah ditujukan kepadanya dan menegaskan tuduhan sebegitu bukan sahaja mencemarkan reputasi peribadi, malah berpotensi menggugat keharmonian serta keselamatan negara.

Apa yang lebih membimbangkan, isu sebesar ini dilemparkan ke ruang awam tanpa penjelasan terperinci atau bukti yang jelas. Dalam konteks kerajaan yang sering melaungkan slogan perpaduan dan reformasi, pendekatan sebegini dilihat bercanggah dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban. Jika benar dakwaan itu berasas, rakyat berhak mengetahui fakta sebenar. Jika sebaliknya, maka tuduhan terbuka seperti ini hanya membuka ruang kepada manipulasi emosi perkauman dan persepsi negatif terhadap institusi negara.

Ultimatum 48 jam yang diberikan oleh Waytha Moorthy bukan sekadar tuntutan penjelasan peribadi, tetapi mencerminkan kegagalan kepimpinan tertinggi negara mengurus naratif sensitif secara berhemah. Dalam keadaan masyarakat majmuk yang rapuh dengan isu kaum dan agama, sebarang kenyataan separuh masak daripada pemimpin hanya mengundang ketidakpercayaan rakyat dan menghakis keyakinan terhadap agenda perpaduan yang dicanang.

Sumber: Malaysiakini





Post a Comment

0 Comments