Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, melancarkan serangan terbuka terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas agensi itu didakwa cuba membina naratif bahawa pegawai dasar James Chai adalah “fugitive” dalam dakwaan skandal RM1.1 bilion.
Menurut Rafizi, tuduhan tersebut langsung tidak masuk akal kerana semua keputusan utama berkaitan projek kerjasama dengan Arm Holdings dibuat di peringkat tertinggi kerajaan.
“Yang minta kami aturkan pertemuan dengan ARM ialah Anwar Ibrahim sendiri. Yang hadir mesyuarat dengan CEO ARM pun PMX sendiri. Yang pengerusikan mesyuarat Kabinet dan luluskan perkara ini pun PMX sendiri,” tegas Rafizi.
Tambah beliau, Perdana Menteri juga yang merasmikan kerjasama tersebut secara rasmi.
SPRM Kejar Pegawai, Bukan Pembuat Keputusan
Rafizi mempersoalkan tindakan SPRM yang didakwa memburu James Chai, yang kini bekerja di University of Cambridge, walaupun beliau hanyalah pegawai yang menyediakan slaid pembentangan projek.
“Kalau betul ada penyelewengan RM1.1 bilion, orang pertama yang patut disiasat ialah pembuat keputusan. Bukan pegawai yang buat slide,” sindirnya.
Beliau turut menyentuh peranan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, yang menurutnya kini lebih sibuk mengejar seorang pegawai muda daripada menyiasat pihak yang berada di puncak kuasa.
“Jentera Kerajaan Diguna Untuk Politik”
Dalam nada lebih keras, Rafizi turut membayangkan bahawa kes ini mungkin berkait dengan pergolakan politik dalaman dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurutnya, apabila percaturan politik tertentu tidak menjadi, seluruh jentera kerajaan digerakkan untuk menekan seorang individu.
“Hanya kerana plot politik dalam PKR tak menjadi seperti yang diinginkan, sekarang seluruh jentera kerajaan digunakan untuk mengejar seorang budak,” katanya.

0 Comments