Isu kemasukan lepasan UEC ke IPTA kembali mencetuskan perdebatan hangat apabila ada pihak cuba menggunakan pelajar tahfiz sebagai hujah untuk menghalalkan kelonggaran syarat kemasukan melalui UPU.
Namun persoalannya, adakah adil untuk menyamakan laluan pendidikan nasional dengan sistem persendirian yang memilih haluan berbeza sejak awal?
Ramai bekas pelajar tahfiz sendiri menegaskan bahawa mereka tidak pernah meminta “laluan istimewa” untuk masuk ke universiti awam. Mereka tetap mengambil SPM, menduduki peperiksaan nasional, dan bersaing menggunakan standard yang sama seperti pelajar lain. Malah ramai berjaya cemerlang dalam akademik walaupun datang daripada aliran tahfiz.
Hakikatnya, UPU bukan sekadar laman permohonan universiti. Ia ialah mekanisme nasional yang dibina atas asas piawaian nasional seperti SPM dan STPM. Dalam sistem itu terdapat Bahasa Melayu, Sejarah, kurikulum kebangsaan dan satu standard yang sama untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.
Atas sebab itu, ramai melihat tuntutan untuk membenarkan UEC memasuki IPTA melalui UPU tanpa syarat SPM sebagai satu bentuk “pintu belakang” yang boleh merosakkan keyakinan rakyat terhadap keadilan sistem pendidikan negara.
Penyokong prinsip ini menegaskan bahawa UEC bukanlah haram atau salah. Ia adalah pilihan pendidikan persendirian yang sah. Namun setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri. Jika memilih sistem di luar kerangka pendidikan nasional, maka laluan ke universiti awam melalui mekanisme nasional sepatutnya tetap memerlukan syarat nasional.
Malah hujah bahawa pelajar tahfiz diberi ruang khas dianggap tidak tepat. Hari ini majoriti pelajar tahfiz juga mengambil SPM penuh untuk melanjutkan pengajian ke IPTA. Mereka menyesuaikan diri dengan sistem nasional, bukannya meminta sistem nasional diubah demi mereka.
Dalam masa sama, universiti awam tetap mempunyai saluran lain seperti pengambilan khas, program terbuka dan laluan tertentu untuk menilai kelayakan alternatif termasuk UEC. Maka isu sebenar bukan soal menutup peluang, tetapi soal mempertahankan standard nasional dan keadilan kepada pelajar SPM serta STPM yang mengikuti laluan rasmi negara sejak awal.
Persoalan yang kini bermain dalam fikiran rakyat ialah, jika semua sijil mahu dianggap setara dalam UPU, apa lagi nilai standard nasional yang dipertahankan selama ini?
Sumber asal: Fadhli Saari

0 Comments