Ketegangan dalam Perikatan Nasional (PN) semakin memuncak. Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu secara terbuka meluahkan kekecewaan terhadap bibit-bibit perpecahan antara Bersatu dan PAS yang semakin jelas kelihatan.
Dalam kenyataan eksklusif kepada Malaysiakini pada 2 Jun 2026, bekas Menteri Besar Perak itu mengakui rasa kurang senang melihat hubungan dua parti utama dalam PN semakin tegang.
“PN telah diterima ramai. Malang sekali kalau PN berpecah,”
Faizal Azumu turut memberi reaksi terhadap kenyataan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang seolah-olah sudah “membuang” Bersatu dengan ucapan “selamat maju jaya”. Beliau berkata jika itu kehendak PAS untuk bergerak solo, Bersatu tidak boleh buat apa-apa.
Namun beliau menasihatkan supaya PAS memikirkan sama ada keputusan itu benar-benar dapat memperkukuhkan perpaduan Melayu.Ketegangan antara PAS dan Bersatu bukanlah perkara baru. Hubungan kedua-dua parti ini sudah lama dilanda pelbagai isu, antaranya serangan terbuka Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang terhadap Bersatu, tuduhan mengambil terlalu banyak kerusi, kejatuhan Menteri Besar Perlis daripada PAS, serta klip rakaman pemimpin Bersatu yang menggelar pemimpin PAS sebagai “pekak”.
Ahmad Fadhli Shaari sendiri baru-baru ini mengisyaratkan tiada lagi harapan untuk kerjasama harmoni antara kedua-dua parti.Hari ini, Majlis Syura Ulama PAS dijadualkan bermesyuarat untuk menentukan hala tuju parti menjelang PRU-16. Keputusan mereka dijangka menjadi penentu sama ada Perikatan Nasional kekal utuh atau mengalami perpecahan terbuka.
Faizal Azumu seolah-olah sedang bermain peranan yang realistik dan diplomatik. Di satu pihak beliau mengakui hak PAS untuk membuat keputusan sendiri, di pihak lain beliau mengingatkan risiko besar jika PN berpecah. Padahal PN kini sedang mendapat sambutan luas di kalangan pengundi Melayu dan Islam.
Perpecahan boleh menyebabkan pembahagian undi yang teruk, kehilangan momentum dan melemahkan kedudukan pembangkang menghadapi kerajaan unity PH-BN.
Kenyataan “Malang sekali kalau PN berpecah” oleh Ahmad Faizal Azumu adalah jeritan hati ramai penyokong Perikatan Nasional. Selepas berjaya membina imej sebagai gabungan alternatif yang kuat, kini PN berada di persimpangan yang sangat genting.
Adakah Majlis Syura Ulama PAS akan memilih untuk menjaga perpaduan, atau mereka akan mengutamakan agenda solo?
Dalam politik, perpecahan adalah musuh terbesar. Kalau tidak diatasi dengan segera, “malang sekali” bukan lagi sekadar kata-kata ia boleh menjadi realiti pahit pada pilihan raya akan datang.
0 Comments