Kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa UMNO akan terus mendokong Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekali lagi menimbulkan persoalan besar dalam kalangan rakyat. Di satu pihak, pemimpin UMNO dilihat sering melontarkan kritikan terhadap Pakatan Harapan (PH), malah ada yang secara terbuka menyerang dasar dan pemimpin kerajaan. Namun di pihak lain, mereka tetap mahu kekal menikmati kedudukan dalam kerajaan sehingga tamat penggal.
Persoalannya mudah. Jika benar UMNO merasakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan sudah tidak lagi selari dengan prinsip perjuangan parti, mengapa perlu menunggu PRU? Dalam sistem demokrasi berparlimen, mana-mana parti mempunyai hak untuk menarik sokongan terhadap kerajaan pada bila-bila masa. Jika sokongan ditarik dan kerajaan hilang majoriti, maka laluan paling demokratik adalah mengembalikan mandat kepada rakyat melalui pilihan raya.
Inilah yang menyebabkan ramai melihat pendirian UMNO seolah-olah mempunyai dua wajah. Ketika berucap di pentas parti, PH dikritik dan dijadikan sasaran politik. Tetapi apabila menyentuh soal kuasa, jawatan dan kedudukan dalam kerajaan, UMNO memilih untuk terus bersama sehingga tamat penggal.
Lebih menarik, alasan yang sering diberikan ialah kestabilan politik. Namun kestabilan politik tidak sepatutnya menjadi alasan untuk terus bermain di dua gelanggang secara serentak. Rakyat mahukan kejelasan. Adakah UMNO benar-benar komited dengan Kerajaan Perpaduan, atau sekadar menunggu masa yang sesuai untuk menentukan hala tuju politik menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan dan akhirnya PRU16?
Hakikatnya, jika UMNO yakin sokongan rakyat telah kembali memihak kepada mereka, langkah paling berani ialah menarik sokongan dan membuktikan kekuatan tersebut di peti undi. Menunggu sehingga PRU sambil terus mengkritik rakan kerajaan hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa parti itu mahu menikmati kelebihan berada dalam kerajaan tanpa memikul sepenuhnya tanggungjawab mempertahankan dasar kerajaan.
Akhirnya, rakyat berhak bertanya: jika benar tidak puas hati dengan kerajaan, tunggu apa lagi? Tarik sokongan, bubarkan Parlimen dan biarkan rakyat menentukan siapa yang layak memerintah negara. Itulah demokrasi yang sebenar.

0 Comments