Biadap! Tanah Melayu Sudah Berakhir - Veteran DAP

Hantaran biadap! Veteran DAP Teng Chang Khim ini bukan sekadar tidak sensitif. Ia angkuh, provokatif dan langsung tidak membantu hubungan antara kaum.

Ya, Perkara 1(1) Perlembagaan menetapkan bahawa Persekutuan dikenali sebagai Malaysia. Dari sudut nama rasmi negara, itu memang benar.

Tetapi betul dari segi teknikal tidak bermakna seseorang boleh dengan angkuh mengisytiharkan bahawa nama, semangat dan warisan “Tanah Melayu” sudah “berakhir”. 

Perlembagaan sendiri masih mengandungi rujukan sejarah dan undang-undang kepada Persekutuan Tanah Melayu, termasuk dalam peruntukan serta tafsiran berkaitan kemerdekaan, kewarganegaraan dan pembentukan Malaysia. 

Malaysia tidak muncul daripada ruang kosong pada 1963. Ia dibina daripada sejarah Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah dan Sarawak. 

Menghormati warisan Tanah Melayu juga tidak bermaksud menafikan hak Sabah, Sarawak atau rakyat bukan Melayu. Kedua-duanya boleh dihormati serentak. 

Hanya orang yang sengaja mahu mencetuskan perbalahan akan menggambarkannya sebagai pilihan antara “Malaysia” dengan “Tanah Melayu”.

Perkataan “Period” dan “Titik” itu pula menunjukkan nada sebenar hantaran tersebut. Ini bukan penerangan undang-undang yang tenang. Ini satu cubaan menutup perbincangan dengan nada menghina dan mencabar sensitiviti sejarah masyarakat Melayu.

Kemudian hantaran itu dipadam selepas 6 jam - bermakna dia tahu ianya salah.

Tetapi memadam hantaran tidak memadam hakikat bahawa ia pernah diterbitkan, dibaca, ditangkap layar dan diperkatakan. Internet bukan papan putih sekolah - padam pun kesannya masih tinggal.

Inilah jenis hantaran yang merosakkan kepercayaan antara kaum. Ia memberi alasan kepada orang Melayu untuk mengesyaki agenda DAP, sedangkan ramai rakyat Cina langsung tidak bersetuju dengan sikap sebegini. 

Akhirnya seluruh masyarakat Cina (termasuk saya) pula menerima tempias akibat keceluparan seorang ahli politik.

Teng Chang Khim bukan orang biasa yang baru belajar menggunakan Facebook. 

Beliau veteran DAP, bekas Speaker DUN Selangor serta bekas EXCO kerajaan Selangor dan kini disenaraikan oleh SME Corp sebagai pengerusinya. 

SME Corp pula ialah agensi kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang dijaga oleh Menteri DAP.

Seorang pengerusi agensi kerajaan sepatutnya membina keyakinan semua kaum, bukan menerbitkan hantaran yang memperlekeh warisan sejarah satu komuniti terbesar negara.

Oleh itu, persoalannya bukan sama ada beliau boleh memetik Perkara 1(1). Sudah tentu beliau boleh.

Persoalannya ialah sama ada seseorang yang mempunyai pertimbangan sebegini masih sesuai mempengerusikan sebuah agensi kerajaan yang perlu berkhidmat kepada usahawan Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak secara adil.

Pada pandangan saya, dia tidak sesuai dan patut dipecat sebab bodow dan sering cetuskan kontroversi.

Malaysia ialah nama negara kita. Tanah Melayu ialah sebahagian daripada akar sejarah dan legasi negara ini. 

Menghormati yang satu tidak memerlukan kita menghina yang satu lagi.

Itu asas kenegaraan. Bukan susah pun - kecuali kalau niat dia memang mahu cari gaduh.



Post a Comment

0 Comments