Khairul Aming Pertikai Dakwaan Kebocoran Maklumat Bil Maxis, Tuntut Penjelasan


Khairul Aming, tampil mempersoalkan bagaimana maklumat berkaitan bil telefon peribadinya didakwa boleh diketahui dan dikongsikan oleh individu lain di media sosial.

Menerusi satu hantaran di Threads yang telah meraih jutaan tontonan, Khairul Aming meminta penjelasan daripada Maxis berhubung dakwaan kebocoran maklumat pelanggan.

"Mohon penjelasan daripada Maxis macam mana personal phone bill saya boleh leak."

Isu itu tercetus selepas seorang pengguna Threads meninggalkan komen yang mendakwa mengetahui jumlah tunggakan bil telefon Khairul Aming, termasuk nilai bil sekitar RM498 serta beberapa maklumat lain berkaitan akaunnya.

Menjawab dakwaan tersebut, Khairul Aming menjelaskan bahawa beliau sememangnya membuat bayaran bil lebih awal untuk beberapa bulan, namun tidak menyedari baki kredit telah berkurangan.

Beliau turut menegaskan bahawa perkara yang lebih membimbangkan bukanlah jumlah bil yang didakwa tertunggak, sebaliknya bagaimana maklumat peribadi tersebut boleh diketahui oleh pihak lain sebelum dikongsikan secara terbuka.

"Tak perlu beritahu sebab ni hal peribadi saya. Saya memang bayar bil in advance untuk beberapa bulan ke depan, tak perasan dah drained balance. Tapi yang jadi creepy macam mana awak boleh tahu info bil Maxis saya ni sampai post ke public? Ni personal data saya."

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada Maxis berhubung dakwaan tersebut.

Sekiranya dakwaan kebocoran maklumat pelanggan itu benar, ia berpotensi menimbulkan persoalan serius mengenai keselamatan data peribadi pengguna serta pematuhan terhadap peruntukan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).

Orang ramai kini menantikan penjelasan rasmi daripada syarikat telekomunikasi berkenaan bagi menjelaskan sama ada berlaku kebocoran data, penyalahgunaan akses oleh pihak tertentu, atau salah faham terhadap maklumat yang tular.




Post a Comment

0 Comments