Kalau sebelum ini orang fikir harga minyak dunia naik = kerajaan dapat lebih banyak hasil, cerita kali ini tak semudah itu. BIMB Securities Research menganggarkan bil subsidi bahan api Malaysia pada 2026 boleh mencecah RM48 bilion hingga RM52 bilion, jauh lebih tinggi daripada anggaran kerajaan sebelum ini sekitar RM40 bilion.
🔥 Kenapa subsidi boleh melonjak?
Masalahnya bukan harga minyak mentah semata-mata. Menurut BIMB, margin penapisan yang semakin tinggi menyebabkan harga produk petroleum bertapis meningkat. Kerajaan pula menerima hasil petroleum yang banyak dipengaruhi harga minyak mentah, sedangkan kos subsidi bergantung kepada harga runcit produk petroleum.
Maksud mudahnya, harga minyak mentah naik belum tentu keuntungan fiskal kerajaan naik sebanyak kos subsidi. Kalau margin penapisan terus tinggi, bil subsidi boleh meningkat lebih pantas daripada pertambahan hasil berkaitan petroleum.
💰 RM52 bilion tu besar mana?
Kerajaan sebelum ini menjangkakan subsidi produk petroleum sekitar RM40 bilion bagi 2026. Malah, MOF melaporkan subsidi RON95 dan diesel yang pada Januari dan Februari sekitar RM800 juta sebulan, melonjak kepada kira-kira RM5 bilion sebulan pada Mac dan April susulan kenaikan harga minyak dunia.
Jadi kalau anggaran RM48–RM52 bilion menjadi kenyataan, ruang kewangan kerajaan memang semakin sempit.
📉 Apa kaitannya dengan Belanjawan 2027?
BIMB melihat tekanan subsidi bahan api sebagai antara risiko utama kepada rangka kerja Belanjawan 2027. Antara kemungkinan yang disebut ialah sumbangan dividen PETRONAS yang lebih tinggi atau kelewatan dalam langkah konsolidasi fiskal. Pada masa sama, sokongan kerajaan dijangka lebih tertumpu kepada bantuan tunai bersasar, kesihatan, pendidikan, keselamatan air, peralihan tenaga dan penyelenggaraan infrastruktur.
Belanjawan 2027 pula akan dibentangkan pada 9 Oktober 2026.
⛽ Adakah ini bermakna harga petrol akan naik?
Belum tentu.
Kerajaan masih melaksanakan mekanisme subsidi bersasar. Dalam kenyataan prabelanjawan, MOF menyatakan BUDI95 membolehkan rakyat menikmati RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter, walaupun harga pasaran global meningkat.
Jadi, jangan terus buat kesimpulan bahawa angka RM52 bilion bermaksud harga petrol akan terus naik. Tetapi, pelarasan subsidi mungkin akan berbeza sekiranya kos tekanan meningkat dengan drastik sekiranya Perang Timur Tengah menjadi lebih meluas dan tidam terkawal.
Kos untuk mengekalkan subsidi semakin menjadi beban kepada kewangan negara.
🤔 Persoalan besar untuk Budget 2027
Kerajaan sekarang berdepan satu dilema:
Nak kekalkan subsidi → rakyat lebih terlindung, tetapi kerajaan tanggung kos lebih tinggi.
Nak kurangkan subsidi → kewangan kerajaan lebih lega, tetapi kos sara hidup rakyat boleh tertekan.
Sebab itu isu subsidi minyak dijangka menjadi antara perkara yang paling menarik untuk diperhatikan dalam Belanjawan 2027. Dengan harga tenaga global yang masih tidak menentu, keputusan kerajaan kali ini bukan sekadar tentang harga petrol.
Ia juga tentang berapa lama kerajaan mampu menanggung subsidi pada tahap yang tinggi tanpa menjejaskan usaha mengukuhkan kewangan negara.
Dan angka RM52 bilion itu memang bukan angka kecil.
Sumber:
- https://www.thestar.com.my/business/business-news/2026/10/05/fuel-subsidies-threaten-fiscal-gains
- https://mof.gov.my/portal/ms/berita/akhbar/subsidi-produk-petroleum-dijangka-hampir-rm40-bilion-tahun-ini-mof
- https://www.mof.gov.my/portal/ms/berita/siaran-media/kenyataan-prabelanjawan-2027
- https://www.thevibes.com/articles/news/127991/budget-2027-must-balance-cost-pressures-with-fiscal-resilience

0 Comments