Penipu sekarang bukan sekadar menghantar pautan palsu. Mereka boleh menyamar sebagai pihak bank, pegawai khidmat pelanggan atau wakil syarikat untuk memujuk mangsa membuat bayaran dan menyerahkan maklumat akaun. Disebabkan isu scam yang tidak pernah habis dan sentiasa ada sahaja pembaharuan cara untuk scam, Apple hadir memperkenalkan ciri keselamatan Impersonation Risk Detection dalam iOS 27 dan iPadOS 27 untuk membantu mengesan petanda aktiviti penipuan ketika pengguna melakukan tindakan sensitif. Sadisnya, ciri ini tidak diaktifkan secara automatik!
Macam mana ciri ini berfungsi?
Ciri ini membantu menilai risiko penipuan apabila aplikasi yang menyokongnya meminta penilaian keselamatan. Contohnya, ketika pengguna mahu membuat pembayaran, menukar kata laluan atau berkongsi maklumat akaun. Apple akan memberikan salah satu daripada tiga tahap risiko kepada aplikasi berkenaan:
- Unknown: Tiada aktiviti mencurigakan dikesan, tetapi ini bukan jaminan tindakan tersebut selamat.
- Medium: Terdapat beberapa petanda yang mencurigakan.
- High: Petanda aktiviti mencurigakan yang lebih ketara dikesan.
Jika tahap risiko tinggi, aplikasi berkenaan boleh meminta pengesahan tambahan, memaparkan amaran atau menangguhkan tindakan tersebut. Bagaimanapun, ciri ini bukan pengesan scam yang menjamin semua penipuan dapat dikenal pasti. Keberkesanannya juga bergantung pada sokongan aplikasi yang digunakan.
Cara aktifkan ciri ini
Jika peranti anda menggunakan iOS 27 atau iPadOS 27 dan menyediakan tetapan tersebut, cuba langkah berikut:
- Buka Settings.
- Pilih Privacy & Security.
- Cari Impersonation Risk Detection.
- Aktifkan pilihan Share with App Developers.
Pengaktifan mungkin mengambil masa sehingga 24 jam untuk berkuat kuasa. Anda juga boleh menyemak aplikasi yang menyokong ciri ini serta melihat permintaan penilaian risiko. Jika perlu, akses untuk aplikasi tertentu boleh dimatikan semula. Jika tetapan ini tiada pada peranti anda, semak versi iOS dan dokumentasi rasmi Apple terlebih dahulu.
Adakah Apple boleh membaca mesej dan gambar kita?
Ini antara persoalan penting berkaitan privasi. Menurut penerangan dalam laporan tersebut, Apple menggunakan maklumat berkaitan interaksi untuk menghasilkan penilaian risiko, tetapi tidak menerima data sebenar yang digunakan dalam aplikasi. Apple juga menyatakan bahawa ia tidak menganalisis kandungan peribadi dalam aplikasi seperti Mail, Messages dan Photos untuk tujuan ini.
Aplikasi yang menyokong ciri tersebut menerima tahap risiko, bukannya data yang digunakan untuk menjana penilaian itu.
Walau bagaimanapun, pengguna perlu memahami bahawa apabila tetapan perkongsian ini diaktifkan, aplikasi yang menyokongnya boleh meminta penilaian risiko bagi tindakan tertentu.
Adakah ciri ini cukup untuk melindungi kita daripada scam?
Belum tentu. Ciri keselamatan tambahan memang berguna, tetapi penipu masih boleh menggunakan pelbagai helah untuk mendesak mangsa bertindak tanpa berfikir panjang.
Jangan terus mempercayai seseorang hanya kerana dia mengetahui nama, nombor telefon atau maklumat asas anda. Jika menerima panggilan yang mendakwa daripada pihak bank, tamatkan panggilan dan hubungi nombor rasmi bank berkenaan.
Jangan berikan kata laluan, PIN atau kod pengesahan kepada orang lain. Semak juga nama penerima sebelum membuat pemindahan wang.
Kesimpulannya, Impersonation Risk Detection berpotensi menjadi satu lagi lapisan keselamatan untuk pengguna iPhone dan iPad. Namun, ciri ini memerlukan pengaktifan dan sokongan aplikasi, jadi jangan anggap semua transaksi akan dilindungi secara automatik.
Sumber rujukan: ZDNET – Impersonation Risk Detection dalam iOS 27

0 Comments