Agensi Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) kini berdepan satu lagi isu keselamatan siber apabila pangkalan data pentingnya, National Crime Information Center (NCIC), dilaporkan menjadi sasaran hackers. Sistem ini bukan pangkalan data biasa. Ia digunakan oleh pihak polis dan agensi penguat kuasa di seluruh Amerika untuk menyemak waran tangkap, rekod jenayah serta maklumat pemeriksaan latar belakang individu.
Jika pencerobohan ini disahkan, kesannya boleh menjadi sangat serius. Bayangkan jika maklumat berkaitan siasatan, rekod jenayah atau waran tangkap jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab. Ia berpotensi menjejaskan kerahsiaan operasi, membantu penjenayah mendapatkan maklumat sensitif dan menyukarkan kerja penguatkuasaan. Bagaimanapun, setakat laporan awal, pihak berkuasa masih menyiasat skop pencerobohan dan jenis data yang mungkin terdedah. Belum ada pengesahan rasmi bahawa semua maklumat dalam sistem tersebut telah dicuri.
Lebih membimbangkan, ini bukan kali pertama sistem berkaitan FBI dilaporkan diceroboh. Pada September lalu, kumpulan penggodam ShinyHunters mendakwa berjaya mengakses portal pengambilan pekerja FBI dan mencuri maklumat peribadi kakitangan serta pemohon kerja. Insiden terbaharu ini menunjukkan bahawa institusi yang mempunyai sumber keselamatan dan kepakaran teknologi tinggi sekalipun tidak kebal daripada serangan siber.
Persoalannya, jika agensi sebesar FBI pun boleh berdepan risiko sebegini, bagaimana pula tahap keselamatan data institusi kerajaan, bank dan organisasi lain di seluruh dunia? Dalam dunia digital, satu kelemahan sistem sahaja boleh membuka ruang kepada ancaman yang jauh lebih besar.

......
Komen Anonymous dibenarkan, Mohon Komen Murni Sahaja