Pengguna Microsoft 365 berdepan gangguan perkhidmatan berskala besar apabila beberapa aplikasi utama termasuk Outlook, Exchange Online, Microsoft Teams, SharePoint dan Copilot mengalami masalah akses. Gangguan ini memberi kesan kepada pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan Microsoft untuk urusan e-mel, mesyuarat, perkongsian dokumen dan kerja harian.
Microsoft mengesahkan punca gangguan bukan disebabkan lonjakan trafik pengguna. Sebaliknya, sejumlah besar pelayan dilaporkan tiba-tiba tidak tersedia selepas gagal melepasi pemeriksaan kesihatan sistem (health checks). Keadaan ini menyebabkan beban operasi meningkat pada pelayan lain yang masih berfungsi. Apabila sebahagian infrastruktur gagal, sistem lain pula terpaksa menanggung beban tambahan.
Microsoft sedang mengambil langkah memulakan semula pelayan terjejas, menguji pembaikan konfigurasi dan mengagihkan semula trafik ke seluruh rangkaian global. Insiden ini direkodkan dengan nombor rujukan EX1550543. Kejadian ini menjadi peringatan bahawa perkhidmatan awan gergasi seperti Microsoft 365 juga tidak terlepas daripada gangguan teknikal.
Bayangkan jika e-mel pejabat, mesyuarat dalam talian dan dokumen kerja semuanya bergantung kepada satu platform yang tiba-tiba bermasalah. Digital memang memudahkan kerja, tetapi apabila sistem tergendala, satu dunia kerja boleh turut terhenti.

......
Komen Anonymous dibenarkan, Mohon Komen Murni Sahaja