Isu arahan penutupan premis perniagaan ketika solat Jumaat di Terengganu sekali lagi mencetuskan polemik politik. Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, membangkitkan kebimbangan bahawa arahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) boleh menjejaskan kebebasan peniaga bukan Islam. Beliau turut mengaitkannya dengan pengaruh dasar keagamaan konservatif PAS. Tetapi sebelum memainkan sentimen kaum dan agama, fakta perlu diperiksa.
Arahan ini bukan dasar baharu yang muncul secara tiba-tiba. Ia telah dilaksanakan sejak 2014. Pada Januari 2024, MBKT menjelaskan bahawa premis makanan milik bukan Islam boleh beroperasi seperti biasa, kecuali jika menggaji pekerja Muslim yang perlu diberikan peluang menunaikan solat Jumaat. Premis yang dikendalikan pekerja wanita juga boleh memohon kelonggaran khas.
Jadi, dakwaan bahawa semua perniagaan bukan Islam diwajibkan tutup tanpa pengecualian perlu dinilai berdasarkan penjelasan rasmi tersebut, bukan hanya berdasarkan satu notis yang ditampal di pintu premis.
Lebih menarik, apabila Khoo menjelaskan semula kenyataannya pada 20 November 2026, beliau menegaskan bahawa beliau bukan mempertikaikan solat Jumaat, sebaliknya mempersoalkan skop penguatkuasaan. Itu ruang perbahasan yang sah dalam demokrasi. Namun, persoalannya: mengapa isu pentadbiran negeri yang mempunyai latar masyarakat majoriti Islam perlu dibingkaikan sehingga menimbulkan gambaran seolah-olah berlaku pertentangan antara Islam dan bukan Islam? Jika benar mahu bercakap tentang kebebasan beragama, prinsip yang sama juga perlu digunakan apabila agama lain menjadi isu.
Sebagai contoh! Kejadian di Jerusalem, Israel pada 2026. Sebuah kafe yang beroperasi pada hari Sabtu, iaitu hari suci Shabbat bagi masyarakat Yahudi, berdepan demonstrasi berulang daripada kumpulan Yahudi ultra-Ortodoks. Pada 1 Ogos, demonstrasi bertukar tegang apabila penunjuk perasaan cuba memasuki premis dan polis terpaksa campur tangan. Kumpulan sekular pula mengadakan demonstrasi balas bagi mempertahankan hak kafe itu beroperasi. Akhirnya, pada 3 September, pihak kafe mengumumkan tidak lagi beroperasi pada hari Shabbat selepas berbulan-bulan berdepan tekanan dan ketegangan. Ini bukan bermakna semua rakyat Israel bersetuju dengan tindakan kumpulan tersebut, tetapi ia membuktikan bahawa pertikaian berkaitan agama dan operasi perniagaan turut berlaku dalam masyarakat Israel sendiri.
Adakah kita mahu mengukur semua negeri perlu dengan prinsip yang sama, atau prinsip kebebasan hanya digunakan apabila mahu mengkritik dasar negeri yang ditadbir pihak tertentu? Terengganu berhak membincangkan dan melaksanakan dasar berkaitan kehidupan masyarakat Islam, tetapi pelaksanaannya juga telah pun jelas, adil dan mengambil kira hak peniaga bukan Islam. Pada masa sama, pihak yang mengkritik perlu membaca keseluruhan peraturan dan penjelasan rasmi sebelum membuat tuduhan. Jangan jadikan agama sebagai modal untuk melaga-lagakan masyarakat. Hormati amalan agama orang lain sebagaimana kita mahu amalan agama sendiri dihormati.



......
Komen Anonymous dibenarkan, Mohon Komen Murni Sahaja