Bayar pinjaman rumah setiap bulan, tetapi rasa macam ansuran terlalu tinggi?
Sebenarnya, anda boleh mempertimbangkan refinance atau pembiayaan semula rumah untuk mendapatkan kadar pembiayaan yang lebih menarik, mengurangkan ansuran atau mendapatkan wang tunai berdasarkan nilai hartanah.
Tetapi jangan terus teruja apabila bank menawarkan kadar lebih rendah. Refinance juga mempunyai kos yang perlu dikira.
Apa sebenarnya refinance rumah?
Refinance bermaksud menggantikan pinjaman rumah sedia ada dengan pembiayaan baharu.
Bank baharu akan menyelesaikan baki pinjaman lama dan anda mula membayar mengikut kadar serta tempoh pembiayaan baharu.
Antara sebab pemilik rumah membuat refinance:
- Mendapat kadar faedah atau keuntungan lebih rendah.
- Mengurangkan ansuran bulanan.
- Mendapatkan wang tunai tambahan (cash-out refinance).
- Menyusun semula komitmen kewangan.
Bila masa sesuai untuk refinance?
Pertimbangkan refinance jika:
- Kadar pinjaman sedia ada jauh lebih tinggi berbanding tawaran baharu.
- Tempoh lock-in sudah tamat.
- Nilai rumah meningkat dan anda mahu mendapatkan pembiayaan tambahan.
- Rekod CCRIS dan kedudukan kewangan semakin baik.
- Penjimatan yang bakal diperoleh melebihi kos refinance.
Berapa kos refinance rumah?
Ini bahagian yang ramai pemilik rumah terlepas pandang. Antara kos yang mungkin terlibat:
| Jenis kos | Penerangan |
|---|---|
| Yuran guaman | Penyediaan dokumen pembiayaan baharu |
| Duti setem | Lazimnya 0.5% daripada jumlah pembiayaan baharu |
| Valuation fee | Penilaian semasa hartanah |
| Disbursement | Carian tanah, pendaftaran dan kos berkaitan |
| Penalti lock-in | Jika penyelesaian awal tertakluk kepada penalti |
Sebagai gambaran, refinance pembiayaan RM450,000 boleh melibatkan kos sekitar RM10,000 atau lebih, bergantung kepada struktur pembiayaan dan caj berkaitan. Ada bank menawarkan pakej yang menanggung sebahagian kos guaman atau penilaian. Semak juga syarat dan tempoh ikatan pakej tersebut.
Contoh kiraan: Berbaloi atau tidak?
Katakan anda mempunyai pinjaman rumah dengan baki RM450,000. Bank lain menawarkan pembiayaan yang membolehkan anda menjimatkan RM200 sebulan. Jika kos keseluruhan refinance ialah RM12,000:
- Kos refinance: RM12,000
- Penjimatan bulanan: RM200
- Penjimatan setahun: RM2,400
- Tempoh untuk pulang modal: 60 bulan atau 5 tahun.
Ini bermakna anda memerlukan kira-kira lima tahun untuk mendapatkan semula kos refinance melalui penjimatan ansuran. Jika bercadang menjual rumah dalam tempoh dua tahun, mungkin refinance bukan pilihan terbaik.
Hati-hati dengan perangkap tempoh pinjaman
Wajib korang fikirkan betul-betul!! Apabila refinance, bank mungkin menawarkan tempoh pembiayaan baharu yang lebih panjang.
Contohnya, baki pinjaman tinggal 20 tahun tetapi anda mengambil pembiayaan baharu selama 30 tahun. Ansuran bulanan mungkin turun, tetapi jumlah keuntungan atau faedah yang dibayar sepanjang tempoh pembiayaan boleh meningkat.
Jadi, jangan tengok ansuran bulanan sahaja. Bandingkan jumlah kos keseluruhan.
Apa perlu semak sebelum refinance?
Sebelum membuat keputusan, semak lima perkara ini:
- Baki pinjaman terkini dengan bank asal.
- Kadar pembiayaan semasa dan kadar tawaran baharu.
- Tempoh lock-in serta penalti penyelesaian awal.
- Semua kos guaman, duti setem dan penilaian.
- Jumlah keseluruhan bayaran sehingga tamat pembiayaan.
Anda juga perlu melalui penilaian kelayakan bank baharu berdasarkan pendapatan, komitmen hutang, rekod kredit dan nilai hartanah.
Refinance rumah boleh membantu menjimatkan wang, tetapi bukan semua pemilik rumah akan mendapat keuntungan daripadanya.
Kuncinya ialah mengira penjimatan sebenar selepas ditolak semua kos.
Jangan hanya tertarik dengan tawaran ansuran bulanan lebih rendah. Pastikan keputusan itu benar-benar menguntungkan dalam jangka panjang.
