Kekalahan Azman Abidin di DUN N13 Paya Rumput menjadi satu tamparan politik yang cukup menarik untuk direnungkan. Azman yang dipaparkan pada bahan promosi sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri hanya memperoleh 12,538 undi, sedangkan calon PN, Rafie Ahmad meraih 19,723 undi. Bezanya bukan sedikit, tetapi 7,185 undi! Lebih 58 peratus undi memihak kepada calon PN, manakala Azman hanya memperoleh 37.37 peratus. Jadi, apa sebenarnya yang tidak kena? Adakah rakyat tidak nampak usaha, atau rakyat sudah membuat penilaian sendiri terhadap tawaran politik yang dibawa?
Lebih menarik, gambar yang tular memaparkan ayam dalam bungkusan berlabel Program Sentuhan Madani, dengan gambar Perdana Menteri dan Azman Abidin serta lambang Jata Negara. Satu lagi gambar menunjukkan cawan yang memaparkan wajah dan nama Azman bersama jawatannya sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri. Persoalannya, apabila bantuan atau barangan yang diberikan membawa wajah pemimpin dan identiti politik, adakah ia masih dilihat sebagai bantuan kebajikan yang neutral? Apatah lagi apabila lambang rasmi negara turut dipaparkan. Penggunaan Jata Negara dalam bahan sebegini wajar dijelaskan:
siapa yang meluluskan, siapa yang membiayai dan apakah tujuan penggunaannya? Kita tidak boleh terus menuduh berlaku kesalahan, tetapi rakyat berhak meminta penjelasan
Inilah pengajaran yang perlu difahami oleh mana-mana pemimpin: ayam boleh diberi, cawan boleh dicetak, gambar boleh ditampal, tetapi undi tetap milik rakyat. Jangan anggap setiap bantuan akan bertukar menjadi sokongan politik. Rakyat bukan pelanggan yang boleh dipikat dengan hadiah, sebaliknya pengundi yang menilai prestasi, integriti, kos sara hidup dan kepercayaan terhadap pemimpin. Jika seorang calon yang mempunyai kedudukan rapat dengan pusat kuasa pun tewas dengan majoriti 7,185 undi, mesejnya cukup jelas: jawatan besar dan program berjenama tidak menjamin kemenangan. Akhirnya, rakyat yang menentukan, bukan poster, bukan ayam, bukan cawan!
- Rafie Ahmad (PN): 19,723 undi — 58.79%
- Azman Abidin (PH): 12,538 undi — 37.37%
- Abdul Rashid Abu Bakar (Bersama): 1,288 undi — 3.84%
- Majoriti: 7,185 undi
- Keluar mengundi: 72.12%

......
Komen Anonymous dibenarkan, Mohon Komen Murni Sahaja