Krisis Negeri Sembilan nampaknya belum sampai ke penghujung. Perkembangan terbaru malam ini menambah satu lagi persoalan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama barisan Exco dijadualkan menghadap Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar pada Rabu, 23 September. Pertemuan itu dijadual berlangsung pada jam 9 pagi di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar.
Menurut laporan yang dikeluarkan media, majlis tersebut adalah Majlis Menghadap Sembah Takzim dan dinyatakan sebagai sesi suai kenal serta untuk mengeratkan hubungan antara Menteri Besar, Exco dan Tuanku Nadzaruddin.
Nampak macam majlis biasa. Tetapi kalau tengok latar belakang apa yang sedang berlaku di Negeri Sembilan sekarang, pertemuan ini memang mempunyai makna yang jauh lebih besar.
Kenapa pertemuan ini menarik perhatian?
Sebab Tuanku Nadzaruddin ialah individu yang kini diiktiraf oleh kumpulan Undang Yang Empat sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Pada 16 September lalu, barisan Exco kerajaan negeri mengumumkan bahawa Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta dan Tuanku Nadzaruddin diiktiraf sebagai pengganti berkuat kuasa serta-merta.
Tetapi pendirian itu bertentangan dengan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang sebelum ini menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Jadi sekarang kita ada dua perkembangan yang perlu dilihat secara berasingan.
Tuanku Muhriz masih menjalankan fungsi sebagai Yang di-Pertuan Besar menurut pendirian Istana dan DKU.
Dalam masa yang sama, kumpulan Undang yang terlibat dalam pertikaian mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin. Dan kerajaan negeri pula sudah mengambil pendirian bahawa proklamasi tersebut sah.

0 Comments