BAN Zionis - Hamas Nafi Tuduhan Israel Terhadap Malaysia

Hamas menafi sekeras-kerasnya laporan  media Israel bahawa anggotanya mendapat latihan mengenai cara melakukan serangan melalui payung terjun di Malaysia.
 
Katanya tuduhan tidak berasas itu direka perisik Israel untuk menjejaskan perpaduan dan sokongan masyarakat antarabangsa yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin yang sedang menghadapi jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai oleh regim Zionis.
 
"Israel mencipta tuduhan itu sebagai cubaan untuk mengalih perhatian daripada penyembelihan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan tenteranya terhadap orang awam, kanak-kanak, wanita dan golongan tua di Palestin," kata Hamas melalui kenyataan yang tersiar dalam laman sesawang rasminya


Kenyataan dalam bahasa Arab itu diterjemah ke bahasa Inggeris oleh Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM).
 
Ketika mengulas laporan berita itu semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia tidak pernah menjalin sebarang kerjasama ketenteraan dengan Hamas atau pihak lain di Palestin.

Dalam kenyataan pada Jumaat, beliau berkata Malaysia dan Palestin hanya menjalin hubungan dan kerjasama dalam bidang diplomatik, perdagangan dan kebudayaan.
 
"Malaysia juga memberi sokongan besar kepada rakyat Palestin dari segi moral dan melalui bantuan kemanusiaan. Rakyat Malaysia memberi sokongan padu berikutan hubungan yang terjalin sejak sekian lama antara pemimpin Malaysia dan Palestin.
 
"Inilah yang mungkin menyebabkan Israel tidak berpuas hati," katanya.
 
Akhbar dalam talian The Jerusalem Post baru-baru ini memetik seorang anggota Hamas yang ditahan sebagai berkata Malaysia menjadi tempat latihan bagi anggota pasukan itu untuk melakukan penyeludupan dan serangan dari sempadan dengan menggunakan payung terjun.
 
Laporan itu juga memetik tahanan yang didakwa sebagai anggota Hamas itu memberitahu Agensi Keselamatan Israel (Shin Bet) bahawa mereka juga mengikuti latihan tentang cara menculik anggota tentera sebagai persiapan untuk menentang Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di Gaza.

- Bernama

Post a Comment

2 Comments