Memandangkan isu ini rumit, Malaysiakini merangkum soalan daripada pembaca dan dari bilik berita dan cuba mencari jawapannya.
1. Apa sebenarnya yang dilaporkan oleh WSJ?
Laporan itu mendakwa satu siasatan daripada penyiasat Malaysia mengesan hampir RM2.6 bilion dipindahkan kepada akaun yang dipercayai mereka sebagai akaun peribadi Najib.
2. Adakah akaun tersebut benar-benar dimiliki oleh Najib?
Laporan WSJ tidak menyatakan perkara ini secara pasti. Mereka menyatakan bahawa dokumen pemindahan wang itu menunjukkan nombor akaun, tetapi tidak menamakan Najib.
Bagaimanapun, mereka memperolehi cara alir, yang didakwa diperolehi daripada penyiasat Malaysia, yang mendakwa akaun tersebut dimiliki Najib.
Laman Sarawak Report yang menerbitkan laporan sama dengan WSJ mendakwa akaun tersebut – dengan nama AmPrivate Banking-1MY, AmPrivate Banking-MY and AmPrivate Banking-MR – sememangnya milik Najib.
3. Adakah Najib dengan jelas sudah menafikan memiliki akaun tersebut.
Tidak.
4. Adakah Najib dengan jelas menafikan bahawa urusniaga itu berlaku?
Tidak.
5. Jadi, apa yang Najib jawab?
Najib mendakwa menjadi mangsa kepada dakwaan “tidak berasas” dan “dahsyat”.
"Tuduhan terbaru adalah saya mengambil dana yang dikaitkan dengan negara untuk keuntungan peribadi.
"Saya percaya (Tun Dr Mahathir Mohamad) bersekongkol dengan warga asing, termasuk blog serangan politik Sarawak Report yang sudah hilang kredibiliti, mendalangi penipuan terbaru ini.
"Saya ingin menjelaskan: Saya tidak pernah mengambil dana untuk kepentingan peribadi seperti didakwa oleh seteru politik saya – sama ada dari 1MDB, SRC International atau entiti lain seperti yang disahkan oleh syarikat ini.
Semalam, Najib mengulanginya dalam blog beliau.
"Saya ingin menekankan sekali lagi bahawa saya tidak pernah mengambil dana 1MDB untuk keuntungan peribadi.
"Dakwaan WSJ dibuat dengan niat jahat dan disokong oleh pihak tertentu dalam negara yang mahu saya meletak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno.
Pada hari yang sama, peguam Najib mengirim surat tuntutan awal, untuk meminta pemilik WSJ, Dow Jones untuk menjelaskan jika perdana menteri menggelapkan wang negara.
Saman fitnah biasanya dimulakan dengan surat tuntutan dan bukan surat tuntutan awal seperti itu.
6. Adakah WSJ menuduh Najib menggunakan wang tersebut untuk keuntungan peribadi?
Tidak. Begitu juga Sarawak Report.
Bagaimanapun, WSJ menyiarkan tulisan pada 18 Jun yang mendakwa Najib menggunakan dana yang berpunca dari 1MDB untuk kempen BN dalam pilihan raya umum 2013.
7. Bagaimana WSJ dan Sarawak Report mendapat maklumat ini?
WSJ hanya menyebut dokumen yang diperolehi daripada “siasatan kerajaan Malaysia”. Mereka mendedahkan dokumen tersebut pada hari Selasa.
8. Adakah dokumen tersebut asli?
Kami tidak tahu. Namun, setakat inni, tiada agensi kerajaan yang tampil dengan kenyataan bahawa ia dokumen yang palsu. Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail membayangkan bahawa dokumen tersebut dibocorkan dari siasatan yang sedang berjalan.
9. Siapa yang menyiasat perkara berkaitan 1MDB setakat ini?
Siasatan dijalankan oleh Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.
Kemudian, muncul pula satu pasukan tindakan khas pelbagai agensi melibatkan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Pejabat Peguam Negara.
Kita juga tahu bahawa Bank Negara kini sebahagian daripada pasukan khas tersebut.
10. Siapa membentuk badan khas ini? Bila?
Kami tidak tahu.
11. Apakah skop siasatan atau terma rujukannya?
Pasukan itu tidak mendedahkannya. Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Ibrahim menyebut pada Mac bahawa ia melibatkan Seksyen 409 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Seksyen 408 Kanun Keseksaan merujuk kepada “jenayah pecah amanah oleh penjawat awam atau ejen”, manakala Seksyen 420 berhubung kesalahan “menipu”.
Najib merupakan pihak berkepentingan dalam siasatan ini. Beliau bagaimanapun menyatakan bahawa siasatan pasukan khas tersebut hanya untuk menentukan sekiranya dakwaan WSJ bahawa beliau mengaml dana 1MDB untuk kepentingan peribadi berasas.
Beliau juga menyebut, siasatan perlu mengambil kira keaslian dokuman yang dikemukakan oleh WSJ.
Pasukan khas tersebut sangat teliti dalam kenyataannya dengan tidak menyebut mana-mana individu khusus yang disiasat.
Sebaliknya, badan itu hanya merujuk kepada “dakwaan ke atas perdana menteri” sebagai subjek siasatannya.
12. Siapakah badan khas ini?
- Gabenor Bank Negara,
- Tan Sri Zeti Akhtar Aziz,
- Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar,
- Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan
- Peguam Negara menandatangani kenyataan daripada daripada badan khas tersebut.
Maka bolehlah disimpulkan bahawa mereka merupakan anggota badan tersebut. Kami masih tidak mengetahui berapa ramai menganggotainya dan bentuk keanggotaannya.
13. Siapa mengetuai badan khas ini?
Kami tidak tahu. Bagaimanapun, maklumat daripada siasatan badan khas ini sudahpun dihantar kepada Gani Patail untuk semakan.
14. Apa perkembangan siasatan setakat ini?
Sehingga 4 Jun lalu, badan khas itu tidak memberi apa-apa laporan kemajuan. Bagaimanapun, Sarawak Report menerbitkan satu tulisan pada 29 April mendakwa “para penyiasat” mendapati Bank Negara diberikan “dokumen palsu” berhubung 1MDB.
Bagaimanapun, badan khas tersebut mula mengemaskini status siasatan sejak Sabtu lalu, sehari selepas WSJ mengaitkan Najib dengan pemindahan wang tersebut.
Sebanyak enam bank akaun berkaitan dengan kes tersebut dibekukan dan pejabat 1MDB juga diserbu semalam.
Sumber yang dekat dengan badan siasatan itu memberitahu Malaysiakini bahawa tiga daripada enam akaun bank yang dibekukan itu dimiliki oleh Najib, namun Abdul Gani menafikannya.
Kenyataan yang menafikan perkara itu ditandatangani oleh Abdul Gani, tidak seperti kenyataan sebelum ini yang ditandatangani oleh kesemua pemimpin tertinggi Bank Negara, SPRM, polis dan juga peguam negara itu sendiri.
15. Bolehkah empat pemimpin ini bertindak dengan bebas jika Najib tidak bercuti?
Boleh, jika mereka profesional. Bagaimanapun, kebimbangan mengenai konflik kepentingan masih timbul kerana mereka masih perlu melaporkan kepada Najib.
Individu ini juga menerima kritikan sebelum ini dalam pengendalian mereka dalam kes-kes sebelum ini.
Dalam tugas lazim, Abu Kassim dan Abdul Gani melaporkan kepada perdana menteri manakala Zeti melaporkan kepada menteri kewangan.
Sekiranya Najib direhatkan, Yang di-Pertuan Agong perlu melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemangku perdana menteri. Jika ini berlaku, Abu Kassim, Abdul Gani dan Zeti akan melaporkan kepada Muhyiddin.
4 Comments
nak ke najib berehat?
ReplyDeleteThis comment has been removed by a blog administrator.
DeleteNajib kata dia bagi masa 14 hari. baru nak saman. Najib mcm nk lobi suh wsj mengalah. Tapi siapa najib dimata wsj.
ReplyDeleteNajib sahabat bermain golf Obama.
ReplyDelete