Pasangan Bercerai, Anak Di Dera Nenek Tiri

“Tergamak dia (bekas bapa mentua) melihat saja cucu, darah dagingnya didera sebegini,” kata Mimi Norma Sakirah Ruslan, 18, ibu kepada Putri Nur Damia Nor Arif Erman, 4, kanak-kanak perempuan dipercayai menjadi mangsa dera nenek tirinya.

Mimi Norma Sakirah yang tinggal di Kampung Saujana, Setiu, mengakui hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan rakan. Anaknya itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, kelmarin.

“Saya meraung apabila melihat keadaan Damia yang lebam mata dan mengalami bengkak. Saya juga diberitahu ada rakan pernah ternampak Damia didera ketika di kawasan pasar malam tempat bekas bapa mentua berniaga.

“Perbuatan isterinya ke atas Damia memang tak akan saya lupa dan maafkan,” katanya ketika ditemui di HSNZ, semalam.

Difahamkan, kejadian menimpa kanak-kanak itu dikesan pegawai perubatan berusia 29 tahun yang bertugas di HSNZ, Kuala Terengganu ketika merawat mangsa, jam 2 pagi kelmarin.

Mimi Norma Sakirah berkata, Putri Nor Damia dijaga bekas bapa mentuanya selepas dia bercerai sejak awal tahun ini.

“Saya mempunyai dua anak iaitu Damia dan adik lelakinya Nor Hakim Nor Arif Erman yang berusia lapan bulan. Apabila bercerai, saya dan bekas suami bersetuju supaya saya menjaga Nor Hakim dan suami menjaga Damia.

“Selepas ini saya akan mula bekerja dan bertekad menanggung Damia serta adiknya,” katanya.
Pengarah HSNZ Dr Nor Azimi Yunus berkata, pemeriksaan mendapati Putri Nur Damia mengalami kecederaan yang bukan disebabkan kemalangan.


(Hmetro)

Post a Comment

2 Comments