Kejayaan Najib Razak & "Pelacur Politik"


Pertama sekali marilah kita mengucapkan syukur kepada tuhan maha pencipta kerana memanjangkan umur untuk kita semua melihat kelahiran ‘pelacur politik’ di negara ini.

Jumaat lalu, tercipta sejarah Tun Dr Mahathir Mohamad menundukkan musuh-musuh ketatnya dalam politik dan menjadikan pemimpin pembangkang seperti ‘lembu dicucuk hidung’.

Tak kisahlah sama ada Mahathir yang merayu ataupun pemimpin pembangkang yang terhegeh-hegeh menyokong Mahathir.

Entah untuk keberapa kalinya, demi rakyat dan menyelamatkan negara dijadikan alasan pemimpin-pemimpin PKR, AMANAH, DAP dan masyarakat sivil untuk menyokong Mahathir dan konco-konconya.
Maka lahirlah ‘Deklarasi Rakyat’- dokumen yang dihasilkan begitu pantas dengan motif utama menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak. Sekali lagi, nama rakyat juga ‘diperkosa’.
Mahathir dan gerakannya hanya mahu menyingkirkan Najib tetapi bukan menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional. Jika Najib berundur sebelum PRU14, BN akan menang besar, itu perkiraannya.

Pemimpin pembangkang sedar tetapi tetap menyokong gerakan Mahathir kerana mahu menyelamatkan negara. Tapi bukankah mereka percaya negara akan selamat bila tukar kerajaan?
Bukankah Itu yang mereka janji kepada rakyat?
Mahathir tak janji janji untuk menukar sistem, Mahathir tak janji mahu bebaskan Anwar, Mahathir tak janji untuk adakan pilihan raya secara adil. Mahathir hanya mahu jatuhkan Najib supaya orang suruhannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau mungkin anaknya, Datuk Seri Mukhriz menjadi Perdana Menteri.
Jika terbukalah hati Rosmah Mansor untuk menasihatkan suaminya berundur, dan kita dapat Perdana Menteri baharu, bagaimana pula hubungan kerajaan dan pembangkang?

Ataupun mari kita berfikir di luar kotak. Pembangkang dan gerakan Mahathir ada membuat pakatan sulit untuk menubuhkan kerajaan campuran atau kerajaan rakyat atau bahasa lebih sopan – konsensus nasional.

Muhyiddin diangkat menjadi Perdana Menteri manakala Azmin Ali menjadi Timbalan Perdana Menteri dengan mengambil kira Azmin adalah anak angkat Mahathir.

Sebab itulah, Datuk Zaid Ibrahim menamakan nama Azmin sebagai calon terbaik menggantikan Najib, walaupun kita tahu Zaid keluar PKR kerana Azmin.
Pemimpin pembangkang yang selama ini kononnya mahu menukar kerajaan. terpaksa menggadaikan prinsip hanya kerana Najib dan sanggup menjadi ‘pelacur politik’ – gelaran yang diberi penyokong pembangkang.
Pendokong reformasi yang berjuang sejak 1998 ternyata kecewa dengan sikap Lim Kit Siang, Azmin Ali, Mohamad Sabu, – yang tidak lagi waras disebabkan percaya Mahathir.

Apatah lagi, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya dianiaya Mahathir juga memberi sokongan dari penjara. Tapi dalam kes ini Anwar dimaafkan. Kita faham, Anwar terpaksa menyokong keputusan rakan-rakannya kerana tidak mahu dibiarkan mereput dalam penjara.

Wan Azizah pula berdiam diri. Mungkin beliau tidak boleh maafkan Mahathir atas apa yang dilakukan Mahathir yang mengubah kehidupan keluarganya. Itu belum lagi kekecewaan penyokong pembangkang di peringkat akar umbi.
Di media sosial dipenuhi luahan tidak puas hati. Katanya perjuangan sejak 1998 akhirnya sia-sia. Reformasi jalanan tidak membawa makna dan buang masa!
Artikel ini sebenarnya bertujuan mengajak rakyat Malaysia berfikir sejenak, layakkah kita meletak kepercayaan kepada pemimpin pembangkang yang menggadaikan prinsip perjuangan untuk memberi kemenangan kepada BN.

Mereka pernah ‘menghasut’ rakyat membenci Mahathir, tapi hari ini mereka jugalah yang memuji melangit. Lim Kit Siang berkata dia tidak membenci Mahathir walaupun kena penjara kerana Ops Lalang, Bukankah sebelum ini kamu yang menghasut rakyat membenci Mahathir?
Biarpun diasak kanan dan kiri,dalam dan luar, Najib telah berjaya menambah lagi senarai jasa-jasanya kepada negara iaitu melahirkan ‘pelacur-pelacur politik’.

(FMT)

Post a Comment

2 Comments

  1. Last skali. najib letak jawatan. BN win lagi. rakyat terus dibangangkan lagi.

    Pandai betul najib. Pembangkang jugak jadi pembangkang sampai tua

    ReplyDelete