Tindakan Pas memecat bekas Naib Presidennya, Datuk Husam Musa dikatakan tidak memberi kesan besar kepada Pas secara keseluruhannya.
Malah, dakwaan mengatakan terdapat 10 wakil rakyat yang bakal melompat parti seperti mana dakwaan Pengerusi Parti Amanah Rakyat (Amanah) Kelantan, Datuk Wan Rahim Abdullah juga dilihat samar.Sebelum ini, beberapa wakil rakyat yang dinamakan untuk beralih arah sudah beberapa kali menafikan dakwaan tersebut.
Umum mengetahui, kesemua wakil rakyat berkenaan masih terikat dengan baiah yang dilafazkan di hadapan bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Keyakinan Wan Rahim yang juga bekas Speaker kerajaan negeri dikatakan dibuat berdasarkan elemen sokongan sesetengah wakil rakyat berkenan yang dikatakan mempunyai persamaan dengan prinsip yang dibawa Husam.
Ia ditambah dengan beberapa wakil rakyat berkenaan yang berani berada di pentas yang sama bersama Husam, walaupun Adun Salor itu sudah disingkirkan lebih awal dari arus politik negeri.
Berdasarkan beberapa kenyataan yang dikeluarkan, terdapat beberapa wakil rakyat di negeri ini yang dikatakan condong dan menyokong beberapa pendirian yang dibuat oleh Husam.
Menurut sumber Sinar Harian, tidak kurang tiga ahli parlimen dan lapan Adun Kelantan yang dikatakan mempunyai persamaan corak pemikiran dengan Husam khususnya dalam soal hubungan politik PKR dan DAP.Malah, salah seorang pemimpin Kerajaan Kelantan sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan secara neutral, dengan menggesa Husam dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjernihkan hubungan.
Husam dalam beberapa kenyataan sebelum dipecat menegaskan, beliau tidak mempunyai pengaruh untuk membawa wakil rakyat berkenaan.
Beliau dikatakan tidak tahu menahu dengan tindakan lompat parti yang dibuat oleh wakil rakyat terbabit.
Persoalan di sini, adakah mereka yang menyokong Husam kini berani membuat keputusan drastik sehingga membawa kepada kedudukan kerajaan Pas Kelantan tergugat.
Ketika ini Pas Kelantan memerintah dengan 32 kerusi, satu PKR manakala Umno 12 dan satu daripada Husam.Dalam pada itu, ketika dihubungi Sinar Harian semalam, beberapa wakil rakyat yang dikatakan akan melompat terus menafikan spekulasi itu, malah menyifatkan ia sebagai omong kosong.
Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad berkata, sudah terlalu lama namanya dikaitkan dengan Amanah sedangkan hakikatnya beliau masih setia bersama Pas dan tidak akan meninggalkan parti itu.
“Sudah lama saya dikaitkan, sedangkan saya tidak ada apa-apa. Biarlah, jalan terbaik adalah berdiam diri, kita buat kerja macam biasa.
“Tak ada sesiapa akan meninggalkan Pas dan menyertai Amanah, kita dah tua, lagipun saya tak ada masalah dalam parti, mereka (ahli Pas) semua kawan saya,” katanya.Menurutnya, tidak ada apa yang perlu dipersoalkan kerana mereka yang didakwa juga tidak tahu tentang perkara ini.
“Saya sudah ulang perkara ini beberapa kali. Saya setia bersama Pas, tidak ada yang perlu diperkatakan lagi, biarkanlah dia (Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Rahim),” katanya.Sementara itu, Adun Kijang, Wan Ubaidah Omar yang turut dikaitkan akan menyertai Amanah menafikan sekerasnya dakwaan tersebut dan menyifatkan ia sebagai tuduhan tidak berasas.
Bekas Exco kerajaan negeri itu mengakui hairan bagaimana namanya turut dikaitkan sedangkan beliau sendiri tidak tahu apa-apa tentang parti itu.
“Dia (Wan Abdul Rahim) sebut sokmo (sering sebut), tak tahu kenapa, tak ada apa pun sebenarnya,” katanya.
1 Comments
Semua sangkut dengan bai'ah.. Maner berani nak tanggung
ReplyDelete