Sultan Johor Kesal "Agong" Hanya Berperanan "Rubber Stamp"


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar kesal kerana peranan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Melayu hanya sebagai "rubber stamp" untuk menurunkan cop mohor terhadap rang undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen atau Dewan Negeri.

Bertitah ketika menyempurnakan Persidangan Speaker Parlimen dan DUN seluruh Malaysia 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Baharu, kata baginda, tindakan mengehad atau menghapuskan peranan Agong dan Raja adalah tidak wajar.
“Saya tahu perkara ini telah berlaku diperingkat persekutuan dan beberapa negeri, tetapi tidak di Negeri Johor.
“Jika dahulu orang-orang Melayu bersatu menentang Malayan Union apabila kuasa raja dikecilkan dan dipaksa menerima penasihat British.
“Namun kini parti politik Melayu jugalah yang telah menghadkan kuasa Agong dalam mempertimbangkan sesuatu rang undang-undang dan lebih teruk lagi memaksa Yang di-Pertuan Agong untuk menerima dan bertindak mengikut apa jua nasihat Jemaah Menteri,” katanya.
Walaupun tidak menyebut nama parti berkenaan adalah jelas baginda merujuk kepada Umno.

Titahnya itu kemudiannya dimuat-naikkan di Facebook Johor Southern Tigers yang sering digunakan oleh baginda dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi meluahkan pandangan mereka.

Baginda secara khusus merujuk kepada pindaan Perkara 40(1A) dan Perkara 66(4A) Perlembagaan Persekutuan yang telah dibuat oleh Parlimen sebagaimana Akta 885 yang berkuatkuasa mulai 26 Jun 1994, yang telah merampas kuasa Agong demi untuk kepentingan politik atau kepentingan peribadi.

Berikut kenyataan penuh yang dimuat-naikkan itu.

Johor Mesti Sentiasa Jadi Johor

Dengan segala perkara-perkara yang sedang berlaku dalam negara pada masa ini, ianya seperti menunjukkan sudah tiba masanya untuk menjelaskan kuasa yang telah termaktub dalam negeri Johor.

Adakah anda fikir semua ini adalah satu kebetulan? Jawapannya adalah tidak.

Rancangan untuk menggunakan 'order' ini bermula sejak 1893 apabila Sultan Abu Bakar mempersembahkan ilham baginda di dalam satu persidangan 'world fair' yang diadakan di Chicago.

Sejarah penubuhan dewan negeri di Johor adalah satu fenomena permodenan negeri Johor yang dicetuskan oleh nenda saya Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1868.

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 merupakan permulaan sistem raja berperlembagaan.

Undang-undang ini telah melalui beberapa pindaan, kuasa perundangan masih dibawah Dewan Negeri dan tertakluk kepada perkenan Raja.

Sejarah juga menyatakan bahawa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor telah dijadikan model dan rujukan dalam menggubal Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang lain, bermula dengan Kerajaan Negeri Terengganu 20 tahun kemudiannya.

Di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh sesebuah negeri, badan perundangan adalah dibentuk oleh dua komponen utama iaitu Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Parlimen di peringkat pusat atau Raja dan Dewan Negeri di peringkat negeri.

Oleh yang demikian adalah tidak wajar sekiranya kuasa Agong atau Raja dalam meneliti dan memperkenankan sesuatu rang undang-undang itu dihadkan atau dihapuskan.

Ia akan menjadikan peranan Agong atau Raja hanya sebagai "rubber stamp" untuk menurunkan cop mohor terhadap rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen atau Dewan Negeri.

Saya tahu perkara ini telah berlaku diperingkat persekutuan dan beberapa negeri, tetapi tidak di Negeri Johor.

Jika dahulu orang-orang Melayu bersatu menentang Malayan Union apabila kuasa raja dikecilkan dan dipaksa menerima penasihat British.

Namun kini parti politik Melayu jugalah yang telah menghadkan kuasa Agong dalam mempertimbangkan sesuatu rang undang-undang dan lebih teruk lagi memaksa Yang di-Pertuan Agong untuk menerima dan bertindak mengikut apa jua nasihat Jemaah Menteri.

Inilah pindaan kepada perkara 40(1A) dan perkara 66(4A) Perlembagaan Persekutuan yang telah dibuat oleh Parlimen Malaysia sebagaimana Akta 885 yang berkuatkuasa Mulai 26 Jun 1994, yang telah merampas kuasa Yang di-Pertuan Agong demi untuk kepentingan politik atau kepentingan peribadi.
Johor ada sebuah misi. Misi tersebut adalah untuk mengembalikan "order".

(Malaysiakini)

Post a Comment

3 Comments

  1. Dia patut persoal, kenapa order tu ditarik. Kalau semua sultan dan kerabat berperanan sebagai orang utama dalam institusi islam dan menjaga segala peradaban serta cara hidup islam. Tidak akan berlaku "ORDER" ditarik.

    Mungkin sudah tiba masanya "ORDER" dikembalikan jika sultan mahukan pentadbiran islam diselaraskan dengan hanya "ORDER" daripada yang dipertuan agong tanpa dipersoalkan.

    ReplyDelete
  2. Dalam negara demokrasi, kuasa berada pada rakyat, zaman raja dan sultan memegang kuasa penuh sudah berlalu. Bukannya rakyat, terutama orang melayu, tidak sayang pada instistusi raja, tetapi apabila sikap dan perangai yang tidak sepatutnya ditunjukkan oleh raja/sultan dan kerabat mereka , jangan salahkan rakyat hilang hormat. Kerajaan yang dipilih oleh rakyat melucutkan kekebalan raja/sultan kerana bersebab yang sedia dimaklumi. Itu pun tidak semua keistimewaan ditarik.Rakyat tidak sanggup memulangkan kuasa mutlak kepada raja/sultan kerana bimbang kejadian2 buruk berulang kembali. Orang melayu terutamanya akan menghormati raja/sultan atau kerabat mereka yang berpegang teguh kepada islam kerana adalah memualkan apabila raja/sultan yang diangkat oleh perlembagaan dilihat melakukan perkara2 yang bertentangan dan memalukan agama islam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aku setuju. Bila kuasa veto diberikan. Kebanyakan kerabat tunjuk lagak. Dah mcm mereka tu takkan mati

      Delete