Khairuddin - Saya Sedia Bertemu Presiden PAS Untuk Memantapkan Pakatan Pembangkang


Pas perlu berhati-hati dengan setiap gerak-geri politiknya bersama BN demi meyakinkan seluruh rakyat di negara ini bahawa parti itu sentiasa berpegang kepada ajaran Islam yang tulen serta berteraskan kepada al-Quran dan  as-Sunnah.

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan berkata, sekiranya Pas kelihatan bergabung secara formal mahu pun tidak dengan BN, ia pasti akan mencemarkan imej parti Islam itu di mata rakyat negara ini.
“Parti Pas harus berhati-hati di dalam memilih kelompok persahabatan mereka demi untuk menjaga reputasi wadah perjuangan khususnya di saat bercakap mengenai hukum hudud," katanya menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Dalam pada itu, Khairuddin memaklumkan bahawa pihaknya turut memanjangkan penghargaan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan kesediaan parti itu untuk menjalinkan kerjasama dengan parti baru ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed.

Khairuddin berkata, pihaknya berharap agar kenyataan Abdul Hadi tersebut akan menjadi realiti demi untuk memantapkan lagi perpaduan di kalangan barisan pembangkang.
“Bagi pendapat peribadi saya, kenyataan tuan guru Hadi Awang itu ikhlas khususnya di saat teka-teki mengenai kes skandal kewangan terbesar di dunia iaitu isu penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah terjawab secara rasminya dengan kenyataan daripada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ,” katanya.
Sebelum ini, DOJ mengeluarkan kenyataan untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyita hartanah bernilai lebih daripada AS$1 bilion (RM4 bilion) berkaitan 1MDB.

Sehubungan itu, Khairuddin memaklumkan bahawa beliau akan berjumpa dengan Abdul Hadi dalam masa terdekat atas kapasiti peribadi bagi berbincang berhubung jalinan hubungan akrab dengan Pas untuk jangka masa panjang dengan membentuk barisan pembangkang yang mantap.
“Semua pihak tidak harus membuat sebarang andaian mengenai kenyataan tuan guru Hadi Awang tetapi mestilah ikhlas untuk merealisasikan kenyataan beliau tersebut demi perpaduan barisan pembangkang,” katanya.

(SH)

Post a Comment

0 Comments