PKR belum cukup yakin dengan cadangan DAP untuk mengadakan pilihan raya negeri di Pulau Pinang.
Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata walaupun keputusan itu diambil sebulat suara oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP), mereka akan tetap meneruskan perbincangan mengenainya dengan parti lain dalam Pakatan Harapan.
"Selepas perbincangan menyeluruh, termasuk mengambil kira pandangan masyarakat madani (civil society), mesyuarat memutuskan secara sebulat suara bahawa PKR masih belum yakin dengan cadangan tersebut," katanya dalam kenyataan sebentar tadi.Pimpinan PKR berkumpul dan mengadakan mesyuarat khas di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya malam ini bagi membincangkan cadangan kerajaan Pulau Pinang membubarkan DUN negeri itu bagi membolehkan pilihan raya negeri di adakan.
Kerajaan negeri yang diketuai DAP berpendapat langkah berkenaan adalah peluang untuk pengundi di negeri itu menyatakan pendirian mereka berhubung tuduhan rasuah dikenakan ke atas ketua menteri Lim Guan Eng.
Kata Lim walaupun parti itu mahu mengadakan pilihan raya negeri DAP tetap menunggu persetujuan daripada parti lain dalam Pakatan Harapan sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya.
Lim adalah setiausaha agung DAP.
Membubarkan DUN adalah satu daripada pilihan diambil kira oleh DAP sebagai reaksi kepada pertuduhan dihadapi Lim.
Satu lagi pilihan adalah menunggu pilihan raya umum diadakan untuk membolehkan pemilihan dijalankan serentak dengan negeri lain.
Wan Azizah berkata atas semangat setiakawan dalam gabungan pembangkang PKR tetap bersedia untuk meneruskan perbincangan mengenai cadangan berkenaan.
"PKR sebagai rakan politik dalam Pakatan Harapan terus bersama berjuang untuk mempertahankan mereka yang dianiaya dan dizalimi, termasuk dalam kes pendakwaan politik Lim Guan Eng, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai lagi pimpinan yang bangkit melawan rejim Umno dan BN.
"PKR beranggapan dakwaan terhadap Lim adalah bermotif politik," katanya.
Wan Azizah yang juga ketua pembangkang di parlimen berkata mesyuarat khas sebentar tadi membangkitkan beberapa persoalan dasar berkaitan rasional mengadakan pilihanraya negeri di Pulau Pinang.
"Justeru, PKR akan menghantar satu delegasi pimpinan tertinggi parti untuk menerangkan pendirian ini kepada pimpinan DAP dalam masa terdekat," katanya.
0 Comments